SURAT | Bajet 2023: Rakyat miskin belum tentu cukup makan
Belanjawaan 2023 tidak sehebat mana walaupun ianya dikira belanjawan untuk PRU15. Banyak isu-isu utama tidak di sentuh dan untuk rakyat miskin boleh disifatkan belanjawaan kais pagi makan pagi. Belum tentu cukup makan.
Seperkara penting yang tidak diambil kira dalam pembentangan Belanjawan tahun ini ialah faktor kejatuhan nilai mata wang Ringgit, dan kadar inflasi yang menghimpit rakyat marhaen dimana mereka sedang bergelut dengan kenaikan kos harga barangan asas .
Belanjawan 2023, berjumlah RM327 bilion dianggap terbesar dalam sejarah. Namun bila diambil kira kejatuhan nilai mata wang Ringgit, jumlah itu dalam AS$ adalah sama dengan jumlah Bajet untuk tahun 2022, ia-itu kira-kira AS$90 bilion - berdasarkan kadar pertukaran wang AS$ ke Ringgit pada Oktober 2021, AS1$ = RM4.16 (Bajet 2022 ialah RM332 Bilion).
Jika di kira atau analisa secara terperinci, Belanjawan 2023 sama dengan Belanjawan 2022 iaitu AS80 billion. Dalam Ringgit Malaysia dikira naik kerana kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk dan terburuk sejak 25 tahun yang lalu.
Oleh itu, semua kenaikan kadar bantuan, seperti Bantuan Keluarga Malaysia dan lain-lain tidak lah banyak membantu, apabila diambil kira kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh kelompok B40.
Manfaat yang diagihkan kepada rakyat tidak berlandaskan asas keperluan atau “need-base". Misalnya, semua murid sekolah bakal mendapat Bantuan Awal Persekolahan tanpa mengira sama-ada ibu bapa mereka miskin atau kaya.
Apalah nilai RM150 kepada seorang murid yang dihantar ke sekolah oleh pemandu dalam kereta mewah berhawa dingin, berbanding murid miskin yang terpaksa berjalan kaki berkilometer atau menaiki bas khas?
Peruntukan bahagian bantuan yang diberikan kepada murid anak orang kaya sepatutnya diagih kepada murid miskin yang lebih memerlukan.
Peminjam Mara tak disebut
Skim istimewa disediakan kepada peminjam untuk membayar balik hutang PTPTN. Malangnya, Bumiputra yang mengambil pinjaman Mara tidak pula disebut apa-apa keistimewaan dalam pembentangan Belanjawan tahun ini.
Dalam Belanjawan yang dibentangkan semalam, peruntukan besar diberikan kepada Perkhidmatan Awam.
Perlu disedari bahawa mereka lah pihak yang bertanggung jawab untuk menentukan perlaksanaan dasar tersebut berjalan dengan baik.
Rasuah M’sia kanser tahap 4
Selalunya penyelewengan dan ketirisan berlaku di peringkat perlaksanaan yang diurus oleh penjawat awam. Malah orang politik dalam kerajaan tidak boleh sakau apa-apa tanpa kerjasama penjawat awam yang menjadi tali barut.
Kegagalan dalam perlaksanaan didakwa berpunca daripada kelemahan dan ketidaktegasan di pihak kakitangan awam.
Penjawat awam di Malaysia boleh dikatakan integritinya buruk. Sudah banyak bukti. Saya berharap bermula dari sekarang pemantauan yang lebih kemas tersusun perlu diberikan terhadap peroses perlaksanaan.
Sudah tiba masanya diwujudkan agensi awam yang dianggotai orang awam daripada berbagai lapisan, diiktiraf dan dibiayai oleh kerajaan, untuk memantau penjawat awam termasuk agensi SPRM, polis, kastam, JPJ, Jabatan Pendaftaran, Imigresen, Maritim, semua kementerian termasuk Kementerian Pertahanan.
Rasuah di Malaysia ibarat kanser tahap empat. Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abd Aziz) dalam pembentangan belanjawan, langsung tidak menyentuh mengenai rasuah dan langkah-langkah untuk memperkasakan integriti kakitangan kerajaan dan menyekat penyalahgunaan kuasa oleh orang-orang politik dalam kerajaan .
Jika banyak projek untuk pembangunan dalam belanjawan, akan ada anugerah projek kepada kroni kroni dikalangan parti politik yang berkuasa. Maka kos projek akan jauh melebihi kos sebenarnya.
IBRAHIM ALI ialah Presiden Putra dan bekas ahli parlimen Pasir Mas.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai