Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Suara dari wakil rakyat Hulu Kelang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Saya, Saari Sungib, ialah Adun untuk penggal ketiga bagi kawasan Hulu Kelang Selangor (Mac 2008 hingga kini) di bawah parlimen Gombak.

Alhamdulillah kami rakyat 'Gombak Bermaruah' berjaya menobatkan Amirudin Shari sebagai ahli parlimen baru bagi kawasan ini pada Sabtu lalu.

Semoga Allah merahmati kami semua.

Tahniah daripada kami rakyat Hulu Kelang dan Gombak atas perlantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia.

Kami mengharapkan perhatian segera daripada perdana menteri akan masalah kami seperti berikut:

(1) Membantu seluruh rakyat DUN Hulu Kelang yang menderita dan keselamatan diri terancam disebabkan jalan yang berlubang kerana projek pembinaan rangkaian paip pembetungan di Bunus Kuala Lumpur (reka dan bina) dengan no kontrak: KeTTHA/JPP/¬GKL/RL/14/K2.

Projek ini memerlukan campurtangan daripada pihak perdana menteri untuk menentukan sama ada ia perlu diteruskan atau diberhentikan.

(2) Menyelesaikan urusan hak milik tanah negeri kerana ada pegangan daripada kerajaan persekutuan iaitu pembinaan dan pemindahan in situ penduduk peneroka bandar Kampung Fajar (yang akan menyelesaikan masalah setinggan dan menghapuskan keadaan antara dua darjat dalam kawasan Hulu Kelang).

(3) Membantu menyelesaikan isu rumah-rumah pangsa yang usang dan berbahaya kepada penghuninya kerana tiada CF (sijil layak menduduki) dan terlalu banyak paip dalam rumah yang bocor.

Penduduk juga berdepan dengan masalah pendawaian elektrik dengan sesetengahnya sudah berusia lebih 45 tahun.

Ia membabitkan rumah pangsa Ar-Ridhuan, Pangsapuri AU1A dan Pangsapuri AU2A.

(4) Membantu menyalurkan peruntukan geran yang secukupnya bagi menggantikan paip-paip lama (jenis asbestos) agar keadaan paip pecah di Hulu Kelang dapat diatasi.

(5) Membantu menyegerakan proses pengoperasian Bukit Tabur dan Permatang Kuartza sebagai kawasan geopark, seterusnya sebagai tapak Warisan Dunia (World Heritage).

(6) Sebagai sebuah kerajaan Reformasi, maka menjadi tanggungjawab kerajaan menegakkan keadilan dengan membebaskan semua tahanan politik menurut proses keadilan yang sewajarnya, bersandarkan piawaian hak asasi manusia.

(7) Menjalankan segala proses pemansuhan dan penggubalan segala akta dan tatacara yang zalim terutamanya Sosma [Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012] dan digantikan dengan undang-undang yang adil secara sejagat.

(8) Membina bahan warisan bagi memperingati kezaliman yang telah memangsakan puluhan ribu rakyat Malaysia dan warga asing dengan menjadikan Kem Tahanan Kamunting sebagai World Heritage.

(9) Membantu dan mengeluarkan bagi membina medan-medan selera yang sekurang-kurangnya kemas tersusun, bersih bertaraf A dan B dengan menggunakan piawaian Singapura.

(10) Memastikan segala isu pencerobohan tanah-tanah kerajaan seperti zon penampan dan infrastruktur lain diselasaikan dalam masa dua tahun.

(11) Menunaikan janji membina semula kedai-kedai di susur keluar laluan Ukar Perdana ke MRR2 (48 unit) yang dirobohkan sebelum ini, serta bengkel baiki kereta berhampiran dengan Rumah Bakti (19 bengkel milik orang Melayu).

Semoga Datuk Seri dapat berkhidmat dengan cemerlang.

Saya akan menjalani pembedahan DBS (deep brain stimulation) dan jika sembuh sepenuhnya kelak, maka saya turut akan membantu Datuk Seri tanpa bayaran.

Doakan segalanya selamat.


SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.