SURAT | Perjuangan MIC tidak mudah patah semangat
MIC harus melakukan sesuatu supaya memiliki reputasi yang seiring dengan perubahan iklim politik semasa.
Parti tersebut perlu mengambil kira soal persekitaran politik ketika ini yang dilihat sudah banyak berbeza berbanding zaman pemerintahan sebelum ini.
Jasa MIC adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Ia penuh dengan wadah perjuangan maka ia perlu dikembalikan semula dalam tampuk pentadbiran kerajaan.
Masyarakat India tidak akan lupa kepada MIC yang terlalu banyak berjasa kepada rakyat.
MIC lebih fokus kepada perjuangan masyarakat dan merupakan nakhoda yang sentiasa menabur bakti kepada masyarakat India berbanding parti-parti lain yang kononnya mewakili atau cuba mewakili kaum India.
MIC bukanlah sebuah parti eksklusif sebaliknya bersandarkan kepada politik bersifat inklusif kukuh memayungi masyarakat India.
Pada PRU ke-15 MIC bertanding di sembilan kawasan parlimen.
Bagaimanapun rebah dengan hanya memenangi satu sahaja.
Ini merupakan peledak semangat kepada MIC untuk bangkit serta terus berjuang dan mara ke hadapan.
Semoga MIC diberi ketabahan serta kekuatan menghadapi dugaan bagi bangkit dan tidak gentar bergerak ke hadapan.
Pada pilihan raya kali ini, pemenang tunggal MIC adalah Timbalan Presiden M Saravanan yang mempertahankan kerusi Tapah dengan majoriti 5,046 mengalahkan calon PH, Saraswathy Kandasami.
Dalam pertandingan enam penjuru itu, Saravanan yang merupakan mantan Menteri Sumber manusia meraih 18,398 undi, Saraswathy (13,304) Muhammad Yadzan (PN 12,115) Mior Haidir (Pejuang 335) Mohamed Akhbar Yasin (Warisan 200) dan M Kathiravan (Bebas 99).
MIC merupakan parti yang lengkap strukturnya dari dari peringkat atasan, bahagian sehingga ke peringkat cawangan.
Aktiviti parti perlu sentiasa berjalan bagi membuktikan MIC bukan parti “bermusim”.
Ia harus terus menjalankan kerja-kerja memperkasa parti serta menangkis dakyah pihak-pihak tertentu.
Sebagai contoh, MIC menerusi Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) masih terus berupaya untuk membiayai pengajian pelajar India.
MIED sebagai entiti bebas terus membantu pelajar yang memerlukan dalam bentuk pinjaman serta biasiswa.
MIED hingga kini telah menawarkan biasiswa dan pinjaman kepada lebih 15 000 pelajar dalam jurusan perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan jurusan lain.
Kita tidak nampak parti-parti lain yang kononnya mewakili atau cuba mewakili kaum India memberi biasiswa kepada pelajar India yang memerlukan.
Penubuhan parti politik di negara kita sebenarnya bermula pada 1940 apabila kesedaran politik mula melonjak hasil pengenalan Malayan Union oleh Inggeris.
Penubuhan Umno, MCA dan MIC bermaksud untuk membela masyarakat atau kaum masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Perpaduan kaum mula dibentuk apabila parti Perikatan mula ditubuhkan hasil gabungan Umno, MCA dan MIC dalam usaha membentuk kerjasama kaum ke arah mencapai kemerdekaan.
Jaringan perkhidmatan MIC kepada rakyat perlu meluas dan bukan hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja.
Rata-rata ramai juga yang berpendapat MIC bijak merancang, urus perubahan politik.
M VIVEKANANTHAN adalah bekas Setiausaha Sulit Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai