Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | 'Umno dalam catatan tahun 2100 masihi'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persidangan Agung Umno 2022 baru sahaja melabuhkan tirai, dan presiden “grand old party” ini bersama timbalannya, berjaya mengekalkan kedudukan mereka sekurangnya untuk tempoh lima tahun lagi.

Laungan “demokrasi sudah mati” dan “hapuskan pengkhianat” menjadi kempen dua kutub dalam parti “keramat” ini dan sudah pasti, mendapat liputan media yang meluas dengan pelbagai headline yang seksi dan menggiurkan untuk dijual.

Isu dalam kamar, hanya ahli parti sahaja memahami dan mengetahui asbab pendirian mereka samada menyokong atau menentang arah kemudi oleh juru pandunya.

Akan tetapi, bagaimana dengan reaksi umum, apa respon dan pendapat masyarakat yang bukan tergolong dalam tiga juta ahli Umno ini?

Apapun riak dan rentak tari politik yang baru ini, ramai menjangkakan termasuk penulis, Umno akan nyahwujud setidaknya untuk 20 ke 30 tahun lagi.

Menelusuri umur pada lewat 20an ini, bukanlah masanya lagi untuk bermain dengan ideologi. Komitmen, kesihatan mental dan fizikal apalagi ketika artikel ini ditulis, cabaran kos sara hidup di kota metropolitan yang kian sesak dan sendat ini amatlah membimbangkan.

Namun penulis percaya, mengambil teladan dari sejarah dan kitaran antropologi ketamadunan manusia, ini adalah sebahagian dari graf masyarakat bernadikan kapitalisme.

Kestabilan politik dan pengukuhan semula kepercayaan rakyat terhadap hala tuju negara adalah kekhuatiran yang wahid, ditambah pula dengan adegan ‘wayang demokrasi’ yang berlangsung di WTC baru-baru ini.

Kekalahan pertama sejak penubuhannya pada tahun 2018 tidak cukup memberi pengajaran; krisis politik, kesihatan dan ekonomi sewajarnya ditunggang sehabis baik memandangkan stigma orang ramai yang masih yakin kemampuan dan pengalaman parti ini dalam mengurus dan mentadbir.

Sayangnya, peluang ini tidak digunakan sehabis baik bagi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.

Laungan penyatuan ummah yang sekadar berlangsung di pertengahan jalan, adalah episod pertama terlondehnya niat dan tujuan utama pimpinan.

‘Barangkali rasa seperti diliwat’

Jijik sekali rasanya apabila tuan presiden sendiri dikatakan mengenepikan segala prinsip dan kehendak akar umbi yang bermatian pertahankan apa yang telah didoktrin kepada mereka selama ini, demi kuasa dan jawatan.

Rasanya seperti dikhianati dan diliwat barang kali.

“Bangun kalau setuju!”

Maka dengan mengambil kira undian yang didakwa dijalankan secara primitif, tidak sistematik dan sangat “rimba” ini, secara tidak rasminya terkuburlah parti yang berusia lebih 60 tahun ini dengan sang penguasa di dalamnya yang hanya sekadar menjadi raja di dalam rumah sendiri.

Dalam meniti arus kemajuan pasca modernisasi, ada lebih baik Umno dibubarkan terus dan menjadi sebahagian dari lipatan sejarah.

Sekurangnya, satu lagi kitaran zaman millenium kelak, nama Umno tetap ada dalam buku berupa digital untuk pengetahuan anak cucu kita kelak.

Dari terus membiarkan ia hanya platform untuk segelintir mereka yang mahukan kesenangan dan jalan pintas dalam kehidupan.

Semoga Umno akan dikenang, sama ada sebagai watak utama dalam episod hitam negara, atau sebaliknya.

Imaginasi bual pada tahun 2090

“Atuk, tadi masa kelas sejarah, cikgu tunjuk video merdeka..”

“Oh yeke, terharu tak?”

“Ha ah..rasa sedih bila cikgu bagi tahu persatuan Amano apa entah tu, yang pergi untuk merdeka masa tu dah tak ada dah..macam mana dah boleh tak ada?”

“Sebutannya Umno chu...lama dah persatuan tu..”

“Ooo..lepas tu dalam buku ada nama Lokman, Zahid, Puad,..cikgu cakap depa ni tokoh pembaruan..macam revolusi lah..”

“Betul lah tu..revolusi, persatuan tu takda dah pun sebab jasa depa lah..”

“Ooo..macam sejarah Turki tulah kan?”

“Urmmm tak sama chu..jauh beza, tapi kalau nak mudah faham macam tu lah lebih kurang..”

Atuk dalam hati: “Celaka, betul lah dulu orang selalu cakap sejarah ni selalunya ditulis oleh mereka yang menang. Lokman Adam tokoh apa kebendanya!”


ADAM MUKHRIZ ialah pembaca Malaysiakini dan penulis bebas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.