Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Dakwa masjid S'gor makin sepi: Pemimpin PAS pertikai pemerintah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Kenyataan yang dikeluarkan Yang Dipertua PAS Bangi, Mohd Shafie Ngah, yang menyentuh mengenai "cahaya gemerlapan Islam di Selangor” telah disangkal exco agama negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Kata Mohd Zawawi, artikel Mohd Shafie adalah dakwaan jahat, tidak berasas, direka-reka, dusta, fitnah dan khabar bohong semata-mata untuk meraih kepentingan politik.

Terdapat tiga dakwaan utama yang diketengahkan Mohd Shafie dalam tulisannya.

Pertama mendakwa surau dan masjid di Selangor semakin sepi.

Melalui kenyataan rasminya Mohd Zawawi (gambar, atas) menerangkan bahawa kerajaan Keluarga Malaysia sebelum ini mengumumkan fasa peralihan pandemik ke endemik Covid-19 bermula pada 1 April 2022.

Hal itu menyebabkan pihak pentadbiran masjid melalui proses memperkasa dan mengimarahkan masjid pascapandemik.

Kerajaan Perikatan Nasional sebelum itu juga menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara berfasa selama hampir dua tahun (Mac 2020 hingga April 2022).

Justeru kebanyakan aktiviti kuliah dan ceramah agama di masjid serta surau terganggu akibat PKP.

Tuduh pengkuliah bagus ditarik tauliah

Sudah tentu tidak adil Mohd Shafie membandingkan aktiviti dakwah secara fizikal dalam dua suasana yang berbeza.

Tuduhan kedua yang dilemparkan pemimpin PAS Bangi itu ialah pengkuliah yang "bagus-bagus" ditarik tauliah mereka.

Tuduhan tersebut sekali lagi disangkal Mohd Zawawi. Hal itu kerana penarikan tauliah ahli politik adalah atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang turut selari dengan Seksyen 12 (a) Enekman Jenayah Syariah (Selangor) No 9 Tahun 1995.

Hakikatnya sesi kuliah dan dakwah di masjid dan surau di Selangor tetap berjalan sehingga kini.

Cuma ia tidak melibatkan penceramah yang berfahaman takfiri, ghuluw (melampau) dan terpengaruh dengan fikrah Khawarij yang keras lagi radikal.

Malah syarat itu terpakai kepada semua pihak termasuk Adun PH Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, yang turut ditarik tauliahnya untuk mengajar di masjid dan surau.

Penarikan tauliah oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dilakukan tanpa pilih kasih dan melibatkan semua pihak tidak mengira kawan atau lawan politik kerajaan PH di Selangor.

Tiada rekod gertakan di DUN

Tuduhan terakhir yang dilemparkan oleh Mohd Shafie ialah Adun PH menjadi penghalang usaha mengimarahkan surau dan masjid di Selangor.

Halangan yang dimaksudkan itu ialah berkenaan gertakan dan hentaman oleh Adun PH dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Namun, tidak dinyatakan secara terperinci siapakah Adun yang melakukan usaha tersebut.

Pimpinan PAS Selangor bolehlah membuat laporan kepada agensi penguatkuasa jika wujud penyalahgunaan kuasa oleh pimpinan dalam kerajaan negeri.

Malah gertakan dan hentaman yang melampau dalam sidang DUN Selangor boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 1965.

Namun, setakat ini tiada rekod sedemikian yang dilaporkan bagi menunjukkan ada usaha Adun PH merencatkan usaha dakwah di masjid dan surau di Selangor.

Ternyata segala tuduhan yang dilemparkan oleh Yang Dipertua PAS Bangi itu tidak berasas.

Sebagai pemimpin yang bergerak menggunakan nama parti membawa imej agama, tidak sepatutnya Mohd Shafie melakukan tuduhan tanpa sebarang bukti sahih.

Perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai fitnah, malah boleh ditafsirkan sebagai mempersoalkan titah Sultan Selangor.

Janganlah hanya kerana tarikh pilihan raya negeri semakin hampir maka Mohd Shafie hilang pertimbangan sebagai Muslim yang waras.

Kritiklah kerajaan negeri dengan bukti yang sahih, sudah pasti ia boleh diterima oleh kerajaan Selangor secara berlapang dada.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Ketua Penerangan Pemuda PKR Pandan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.