Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Belajar dari kebiadaban Paludan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Dunia Islam digemparkan oleh perbuatan biadab Rasmus Paludan yang melakukan provokasi apabila dia membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Sweden.

Perbuatan amat terkutuk itu mendapat restu Stockholm apabila aksi Paludan berkenaan mendapat perlindungan polis semasa ia dilakukan.

Perbuatan tersebut mendapat kutukan pelbagai pihak termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memberi amaran keras terhadap Sweden sebagai tanda masyarakat Islam antarabangsa tidak akan berdiam diri terhadap sebarang penghinaan ke atas agama.

Isu pembakaran al-Quran oleh Paludan sebenarnya bukanlah berpunca daripada pergeseran agama atau etnik sebaliknya kesan politik di antara kerajaan Turkiye dan Sweden.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) telah memulakan usaha untuk membawa kembali Sweden dan Finland ke dalam pakatan ketenteraan mereka selepas Rusia mengisytiharkan perang terhadap Ukraine.

Namun Turkiye (satu daripada 30 anggota Nato) dilaporkan membantah. Turkiye adalah satu-satunya negara yang menentang keanggotaan tersebut.

Sweden dan Finland dianggap Turkiye sebagai negara yag menyokong secara terbuka perjuangan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan kumpulan pemberontak Kurd, Unit Perlindungan Rakyat (YPG) yang memerangi kerajaan Turkiye.

Sweden dan Finland sebaliknya beranggapan mereka tidak melindungi pengganas sebaliknya sekadar melindungi pejuang demokrasi yang dituduh sebagai pengganas oleh Ankara.

Recep Tayyip Erdogan menuntut 73 individu dianggap pengganas oleh kerajaan dipulangkan ke Turkiye sebagai timbal balas penyertaan Sweden dan Finland ke dalam NATO.

Pertentangan itulah akhirnya membawa kepada peristiwa pembakaran al-Quran oleh pemimpin pelampau sayap kanan Sweden-Denmark tersebut.

Sweden kini menghadapi keadaan tidak tenteram selepas insiden berkenaan.

Kumpulan yang tidak bersetuju dengan tindakan Paludan melakukan protes secara radikal yang mengakibatkan 40 anggota polis Sweden cedera semasa mengawal tunjuk perasaan yang bertukar ganas.

Protes di bandar Orebro itu turut mengakibatkan empat kereta polis di bakar, selain empat orang awam tercedera. Sepanjang demonstrasi berlangsung anggota polis yang bertugas dibaling dengan batu oleh hampir 150 orang penunjuk perasaan.

Keadaan dikeruhkan lagi dengan provokasi Paludan yang mahu meneruskan pembakaran al-Quran di beberapa kota majoriti komuniti Muslim di Sweden.

Malah dia mengancam untuk bertindak biadab sepanjang Ramadan tahun ini.

Paludan akhirnya dinasihatkan untuk membatalkan rancangan tersebut.

Ternyata Paludan bertindak sangat agresif bagi mendapatkan sokongan masyarakat memandangkan pilihan raya Denmark akan berlangsung pada Sept tahun ini.

Paludan sebelum ini telah dihalang untuk kembali ke Sweden selama dua tahun apabila memulakan provokasi yang sama pada 2020. Isu itu juga meningkatkan kembali ketegangan terhadap komuniti Muslim di Eropah.

Masyarakat di Malaysia memang sepakat menolak perbuatan biadab tersebut. Namun kita juga harus berjaga-jaga agar tidak wujud mana-mana individu mengambil kesempatan menjadi Paludan versi Malaysia.

Apatah lagi kita akan berdepan dengan pilihan raya Negeri di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Jika wujud cubaan mana-mana pihak untuk bermain sentimen perkauman dan keagamaan, menjadi tanggungjawab kita semua untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ia termasuklah mesej-mesej fitnah, provokasi dan menyeleweng yang disampaikan melalui platform media sosial.

Keharmonian dan keamanan Malaysia perlu terus dipelihara walaupun kita terpaksa mengorbankan ahli politik yang tidak bertanggungjawab.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Duta Perpaduan Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.