Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Keberkesanan RMT dalam sektor pendidikan 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan percaya bahawa pelajar, khususnya pelajar sekolah rendah, adalah antara golongan yang berkepentingan dalam mendapatkan keperluan nutrisi yang mencukupi, sihat dan seimbang dalam menjamin proses tumbesaran yang baik. 

Kementerian Kesihatan juga setuju bahawa pelajar sekolah rendah yang berada dalam lingkungan tujuh hingga 12 tahun ini berada dalam peringkat umur yang kritikal untuk diberi makanan yang berzat berdasarkan nutrisi pemakanan yang dicadangkan. 

Selari dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia mengetengahkan inisiatif bantuan makanan yang lebih dikenali sebagai Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah rendah kerajaan, khususnya sekitar luar bandar. 

Tujuan utama inisiatif ini tidak lain dan tidak bukan demi menambah baik taraf kesihatan pelajar dengan menawarkan makanan yang sihat secara percumaberdasarkan bajet yang diberikan oleh kerajaan. 

Pemakanan yang seimbang amat diperlukan oleh setiap pelajar bukan sahaja dalam menjalani aktiviti seharian mereka tetapi turut dituntut untuk mengelakkan masalah kesihatan berkaitan ketidakseimbangan nutrisi. 

Di Malaysia, masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak amat membimbangkan semua pihak.

Statistik melaporkan lebih kurang 70% kanak -kanak di Malaysia dan beberapa negara Asia yang lain tersenarai mempunyai kekurangan nutrisi dalam diet harian. 

Umum mengetahui bahawa bantuan makanan seperti RMT ini terhad. 

RMT tidak diberikan kepada semua pelajar sekolah sebaliknya hanya kepada pelajar daripada kategori tertentu berdasarkan jumlah pendapatan isi rumah. 

Pelajar yang berkenaan pula haruslah membuat satu permohonan dengan mengisi borang

permohonan bantuan RMT yang disediakan oleh pihak sekolah. 

Pelbagai pihak seperti guru, ibubapa dan juga ahli politik berpendapat bahawa program yang bermanfaat seperti RMT sangat berkesan untuk para pelajar dan perlu diberikan sama rata

secara adil kepada semua pelajar secara keseluruhannya. 

Oleh sebab program RMT ini memberikan impak positif terhadap perkembangan pelajar, maka tidak mustahil sekiranya perkara ini mendapat perhatian umum sehingga ada yang menggesa bantuan ini diberikan kepada semua pelajar tanpa membuat sebarang tapisan.

Adil dan saksama?

Justeru itu, pada tahun 2020 Kementerian Pelajaran Malaysia mula mengambil 

langkah yang sama untuk memperkenalkan ‘Program Sarapan Percuma’ khusus buat semua pelajar sekolah rendah.

Konsep pelaksanaan program itu diadaptasikan daripada program RMT tetapi terbuka kepada semua pelajar. Namun demikian, Program Sarapan Percuma yang bermanfaat ini adalah bukan program tetap seperti RMT. 

Program RMT ini pada hakikatnya adalah tidak menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Maka, timbulnya persoalan sama ada bantuan RMT ini adil dan saksama? 

Jika kita lihat pandangan John Rawls, iaitu seorang ahli falsafah, beliau mengambil pendekatan bahawa setiap manusia perlu diberikan layanan bersesuaian dengan apa yang diperlukan kerana manusia mempunyai kedudukan dan taraf berbeza. 

Begitu jugalah yang terpakai dengan situasi di atas iaitu kerajaan memberikan keutamaan makanan percuma atau RMT ini kepada pelajar yang kurang berkemampuan dalam usaha membantu mereka mendapat makanan yang seimbang. 

Bagi pelajar yang lain, mereka terkecuali dalam bantuan ini kerana kerajaan beranggapan mereka mampu untuk mendapatkan makanan yang seimbang tanpa bantuan. 

Untuk memahami lebih lagi asbab kerajaan mengehadkan bantuan hanya kepada golongan tertentu, kita perlu memahami konsep undang-undang dalam pengelasan munasabah.

Pengelasan munasabah ini merupakan satu cara untuk semua faham mengapa hanya sebahagian kumpulan sahaja terpilih untuk menerima RMT. 

Prinsip pengelasan munasabah ini membezakan individu atau kumpulan berdasarkan ciri- ciri yang ditentukan.

Secara rangkumannya, RMT telah memberi impak memberangsangkan sehingga ramai pihak yang membuat gesaan kepada kerajaan untuk memberikan bantuan makanan percuma kepada semua pelajar tidak kira latar belakang ekonomi. 

Tidak dinafikan bahawa ini merupakan inisiatif yang baik namun kita perlu faham mengapa kerajaan telah lama memberikan fokus dan keutamaan yang lebih kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Ini demi memperkasakan taraf kehidupan mereka yang jauh ketinggalan daripada golongan yang lain. 


NUR AKRIMI MATHWA AHMAD ZAMRI dan RACHEL DECRUZ ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.