Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri akhir]

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Salam sejahtera dan salam yang berdasarkan qaulan sadida.

Tuan Guru, tidak salah bukan jika kita menggunakan bahasa yang lembut, yang tidak mungkin boleh diertikan sebagai menghina mana-mana pihak?

Kerana melalui qaulan sadida, Allah berjanji untuk mengislahkan lagi amalan kita, mengampunkan dosa-dosa kita dan memberi anugerah kemenangan yang disebut sebagai fauzan ‘azima – suatu kemenangan yang besar.

Tuan Guru, maaf - saya bukan menuduh atau mempersalah Tuan Guru di luar konteks ucapan yang telah diringkaskan oleh netizen dan ditularkan melalui TikTok.

Saya amat terkejut apabila mendengar ucapan itu. Apabila saya bawa bertenang sebelum mendengar ucapan itu beberapa kali dan menulis satu per satu perkataan yang Tuan Guru ucapkan, maka saya membuat keputusan untuk menulis dalam surat ini.

Berikut adalah transkrip ucapan tersebut: “Kalau Kristian tu datang, dia takluk kita, kita jadi gembala babi… Kalau Sultan Yusuf datang, dia takluk kita, tak jadi raja, jadi gembala kambing.

“Kamu sua (suka) jadi gembala kambing ke gembala babi? Itulah maknanya, kalau kita sabar sama-sama kita ni, sama-sama Islam ni, kalau zalim pun sama-sama kita ni, kita jadi gembala lembu.

“Kalau orang lain memerintah, kita jadi gembala babi. Nak lawan sangat.

"Nak jadi gembala babi ke nak jadi gembala lembu… mesti faham, ini politik.”

Nafikan jika bukan

Tuan Guru, ucapan tersebut dibuat sebagai membandingkan Tuan Guru dengan Anwar Ibrahim.

Ucapan Anwar yang diambil dalam konteks itu adalah: “Tapi dengan maksud ada minat untuk selalu mengangkat martabat insan, martabat perkhidmatan – seperti kata-kata Nabi Allah Syuaib yang selalu saya ungkapkan: In uridu illal-islaha mastata'tu (Ttidak ada upaya aku selain daripada bekerja dan berkhidmat untuk membawa perubahan/islah dengan sebaiknya.”

Saya tidak mahu mempersoalkan isu ini dalam konteks perbandingan dengan hanya memetik ucapan Tuan Guru dan Anwar sedikit di sana dan sedikit di sini.

Cara sebegitu sukar untuk saya mencapai kebenaran dan keadilan.

Tetapi saya ingin mendapat pencerahan berdasarkan apa yang ditularkan itu sebagai ucapan Tuan Guru. Ditambah sebagaimana yang saya sudah terbiasa mendengarnya melalui pembesar suara komputer, saya rasa itu adalah suara Tuan Guru.

Oleh itu jika itu bukan suara Tuan Guru dan Tuan Guru tidak memberi ucapan seperti itu di mana-mana sepanjang hayat Tuan Guru, maka sila nafikan dan tegaskan video itu adalah palsu belaka.

Tuan Guru, naratif yang Tuan Guru kemukakan adalah perspektif umat Islam dan sejarah dunia yang monolitik serta tidak pernah berubah.

Apa yang dimaksudkan dengan monolitik ialah dalam mana-mana zaman dan tempat, keadaan dan hubungan di antara orang Islam dan bukan Islam sentiasa dalam permusuhan.

Ini adalah bertentangan dengan konsep Sahifah al-Madinah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam membina masyarakat madani sebelum ia diikuti oleh para sahabat khususnya para Khulafa ar-Rasyidin serta dalam beberapa pemerintahan Islam selepas itu.

Demikian juga pada era Andalusia apabila berlaku interaksi budaya dan agama ketika umat Islam membangunkan tamadun yang berdasarkan ilmu serta kerjasama merentasi agama-bangsa.

Nada seakan mengancam

Tuan Guru, sejak era itu permusuhan memang pernah berlaku dan tercetus dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam. Tetapi tidak semestinya ia bersifat monolitik dalam erti, asalkan umat Islam mesti menyokong Islam, manakala yang bukan Islam akan memusuhi umat Islam.

Seperti yang Tuan Guru ucapkan:

“Kalau Kristian tu datang, dia takluk kita, kita jadi gembala babi. Kalau Sultan Yusof datang, dia takluk kita, tak jadi raja, jadi gembala kambing”.

Tuan Guru telah seperti berpendirian kukuh bahawa jika orang bukan Islam diberi ruang untuk mentadbir kita, akan sampai waktu dan masanya mereka akan berani menghina Islam dengan memaksa kita kerja sebagai ‘gembala babi’.

Bertambah berat lagi apabila perkara ini Tuan Guru kemukakan sebagai persoalan: “Kamu sua (suka) jadi gembala kambing ke gembala babi?”

Kemudian Tuan Guru menyeru dengan suruhan berbaik-baik dalam kalangan sesama umat Islam walaupun terdapat golongan yang jahat lagi zalim.

Justeru Tuan Guru anggap sebagai satu sifat sabar yang mulia: “Itulah maknanya, kalau kita sabar sama-sama kita ni, sama-sama Islam ni. Kalau zalim pun sama-sama kita ni, kita jadi gembala lembu.”

Tuan Guru menambah lagi seolah-olah mengancam dengan mengatakan: “Kalau orang lain memerintah, kita jadi gembala babi. Nak lawan sangat. Nak jadi gembala babi ke nak jadi gembala lembu?”

Jelas bahawa pendirian Tuan Guru adalah tidak membenarkan mana-mana pemimpin ataupun kerajaan orang Islam yang diketuai oleh majoriti orang Islam cuba digantikan oleh orang lain.

Saya merasakan nada suara Tuan Guru menunjukkan rasa marah luar biasa: “Nak lawan sangat. Nak jadi gembala babi ke nak jadi gembala lembu?”. Adakah maksud Tuan Guru dengan kata-kata “Nak lawan sangat” itu bermakna melawan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh majoriti orang Islam iaitu gabungan PAS dan Umno?

Adakah maksud Tuan Guru nak jadi gembala babi kerana menyokong kerajaan yang ada parti DAP?

SURAT 1 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 2 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 3 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 4 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 5 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 6 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru
SURAT 7 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru


SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang, Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.