Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Merelevankan kembali Umno dengan citarasa profesional bumiputera

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas dilantik menjadi anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dilaporkan, Tengku Zafrul Tengku Zafrul mahu tarik profesional bumiputera bersama Umno.

Sebagai ahli jawatankuasa (AJK) bahagian Batu Kawan, saya menyambut baik iltizam politik bekas menteri kewangan itu. 

Kalau ditanya kepada saya, Umno kena merelevankan kembali perjuangan parti dengan citarasa rakyat teramai termasuk profesional baik Melayu ataupun bukan Melayu. 

Di Malaysia, anak Melayu yang bergraduasi bidang perubatan adalah antara kelompok profesional. 

Dalam kalangan mereka, ramai masih berstatus kontrak walaupun ada gerakan massa sejak beberapa tahun lepas supaya mereka segera diserap ke perjawatan tetap dengan skim gaji yang lebih menarik. 

Pada 23 Februari 2023, Harian Metro melaporkan hampir 3,400 daripada keseluruhan 29,548 pegawai perubatan kontrak meletak jawatan dalam tempoh enam tahun sejak 2017, antaranya sebab berhijrah ke luar negara. 

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata tahun lalu sahaja, seramai 1,354 doktor kontrak atau 4.58 peratus daripada keseluruhan 29,548 membuat keputusan melepaskan jawatan mereka.

Bayangkan sekiranya Umno sebagai sebahagian parti yang terlibat membentuk Kerajaan Perpaduan peringkat Putrajaya lantang dalam membendung penghijrahan beramai-ramai golongan profesional ke luar negara (brain drain).

Sebagai ejen politik parti, saya pernah bercakap mengenai isu malar segar ini dalam Perhimpunan Tahunan Umno Bahagian Batu Kawan pada tahun 2019.

Mewakili Cawangan Permatang Kebun Sireh semasa itu, saya bercakap mengenai kejayaan generasi terdahulu Umno mengadakan sektor perkhidmatan kesihatan awam yang bagus.

Daftar di Jabatan Pesakit Luar Hospital Kerajaan atau Klinik Kerajaan hanya perlu bayar serendah RM1 untuk berjumpa doktor dan mengambil ubat berwajib; kalau jumpa pakar bayar RM5 sahaja.

Nak buat polisi fiskal ini memang memerlukan iltizam politik yang tinggi; tidak boleh ada langsung logik ekonomi konservatif seperti “Kerajaan Persekutuan ada krisis fiskal disebabkan hutang sebenar serta  kontigensi liabiliti berjumlah RM1.5 trilion”, sebagaimana lazim dilafazkan oleh pegawai tertentu di Unit Perancang Ekonomi (EPU) belakangan ini. 

Pemimpin terdahulu Umno nak memegang erat, menggenggam teguh. Pendirian mereka teguh dalam menetapkan kadar untuk bertemu doktor RM1 atau RM5 jika mahu bertemu pakar.

Di Hospital Bukit Mertajam atau di Klinik Kesihatan Perda umpamanya - tempat selalu saya sekeluarga mendapatkan rawatan sakit demam biasa - memang kita dapat lihat betapa riang dan berterima kasihnya sekalian ibu tua, pesara kerajaan, pelajar sekolah yang berbilang kaum dan barangkali dalam kelompok berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) menunggu giliran untuk bertemu doktor yang begitu dedikasi.

Dalam perhimpunan tahunan parti peringkat bahagian itu lagi, saya kata apabila sekalian akar umbi boleh mencerap realiti polisi kesihatan yang dibuat oleh pemimpin Umno terdahulu, baru lah masing-masing boleh merasai ruh di sebalik bait lagu rasmi parti yang berbunyi;

“Umno terus mara, untuk rakyat Malaysia.”

Bercakap mengenai usaha merelevankan kembali perjuangan parti dengan citarasa golongan profesional Bumiputera dan rakyat Malaysia berbilang kaum, tidak lengkap sekiranya kita tidak melihat usaha-usaha penambahbaikan polisi fiskal pada sektor perkhidmatan kesihatan sedia ada pada era Najib Razak menjadi perdana menteri keenam.

Pada waktu itu, pentadbiran Najib bukan sahaja mewujudkan Klinik 1Malaysia sebagai serampang dua mata; pertama meningkatkan kualiti hidup rakyat teramai dan kedua demi merosotkan lambakan pesakit di jabatan pesakit luar hospital-hospital kerajaan.

Malah, pentadbiran Najib pada waktu itu juga turut mewujudkan Klinik Kerajaan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dengan operasi perkhidmatan dilanjutkan sehingga jam 9.00 malam.

Bayangkan betapa riangnya sekalian penjawat awam di Komtar, apabila selepas waktu kerja jam 5.30 petang pun masih boleh pergi berjumpa doktor di klinik kerajaan dekat UTC di sini? 

Pada hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap menteri kewangan akan membentangkan semula Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Sangat besar harapan saya agar sekalian pemimpin Umno mengambil posisi yang progresif, berani dan lantang dengan mendesak Putrajaya membina hospital dan klinik kerajaan mengikut jangkaan tingkat populasi penduduk lokal yang kian menekan.

Dengan menambah luas lantai hospital dan klinik kerajaan, sekali gus boleh membantu Putrajaya sendiri menyerap doktor kontrak ke perjawatan tetap, dan ini akan merelevankan perjuangan Umno dengan citarasa rakyat teramai termasuk golongan profesional muda.

Sewajarnya hampir tidak ada kekangan secara ekonomi untuk berbelanja defisit bagi tujuan meningkatkan lagi kapasiti sedia ada sektor perkhidmatan kesihatan awam negara, memandangkan perbelanjaan dalam ringgit yang kerajaan persekutuan sendiri keluar dan monopoli wang berdaulat negara itu. 

Secara ekonomi, kekangan hanya berlaku apabila tiada sumber sebenar bagi menjayakan satu-satu polisi fiskal. 

Contoh, kerajaan pusat sudah membina beberapa hospital, tetapi tak ada langsung graduan perubatan untuk direkrut sebagai doktor dengan perjawatan tetap dan skim gaji menarik sekarang. 

Dalam keadaan sebegini, barangkali kerajaan persekutuan perlu berbelanja fiskal untuk tempoh lima hingga tujuh tahun bagi melahirkan graduan perubatan di universiti awam terlebih dahulu, apabila sumber sebenar mereka ada, baru boleh diserapkan ke perjawatan tetap. 

Berbalik kepada iltizam politik Tengku Zafrul mahu menarik profesional Bumiputera bersama Umno, mohon semua pemegang taruh mempertimbang pendapat kecil ini.


ZAINULFAQAR YAACOB merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Batu Kawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.