SURAT | Hidupkan kembali inisiatif MyBrain15
Masuk tahun ini, genaplah lima tahun Program MyBrain15 ini ditangguhkan perlaksanaannya. Bermula pada zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 sehinggalah Pakatan Harapan melalui Kerajaan Perpaduan memerintah semula pada tahun ini. Sepanjang tempoh itu, sudah tiga perdana menteri bertukar baton, namun sub agenda pendidikan ini tetap bukan menjadi keutamaan.
Saya adalah merupakan salah seorang pelajar yang pernah menikmati program tersebut semasa menjalani pengajian peringkat sarjana. Memang tidak dinafikan, program ini telah memberi kelegaan kepada pelajar-pelajar terutamanya pelajar matang dan sudah berkeluarga.
Sebagaimana yang kita maklum, kebanyakan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah adalah terdiri dari pelajar matang dan berkeluarga. Terlalu banyak tuntutan dan komitmen selain dari peruntukan untuk pengajian harus diutamakan oleh golongan ini. Hal ini telah menyebabkan golongan ini sukar untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat seterusnya.
Program MyBrain15
Pada 2011, kerajaan ketika itu telah mensasarkan untuk melahirkan 60,000 rakyat Malaysia yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan menghasilkan kajian dan penyelidikan yang berkualiti tinggi serta dianugerahkan dengan ijazah PHD. Maka wujudlah program yang dinamakan MyBrain15. Ia merupakan inisiatif kerajaan BN ketika bawah pimpinan bekas perdana menteri, Najib Razak. Ia telah ditubuhkan bertujuan untuk membiayai pelajar yang layak menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Namun pada 27 Julai 2018, semasa pemerintahan PH, Maszlee Malik yang menerajui Kementerian Pendidikan telah membuat pengumuman dengan menangguhkan pelaksanaannya untuk tempoh tertentu yang tidak dinyatakan atas alasan kerajaan terdahulu meninggalkan hutang yang terlalu banyak. Ini menyebabkan kerajaan ketika itu merasakan tidak boleh memberikan biasiswa kepada sesiapa. Keputusan ini merupakan suatu tindakan yang tidak populis dan telah mencalar sedikit imej kerajaan pada ketika itu.
Golongan pelajar ketika itu agak tersentak dengan keputusan yang diambil oleh kerajaan kerana pada ketika itu, kerajaan PH lebih dikenali sebagai mesra pelajar kerana agenda mereka tidak pernah menyisihkan tentang agenda pelajaran untuk rakyat. Tambahan pula, Maszlee Malik juga datangnya dari bidang akademik.
Walaupun fokus kerajaan ketika itu adalah murni iaitu untuk memerangi rasuah dan ketirisan serta memperbaiki ekonomi negara, namun sektor pendidikan seharusnya diperkasa dan dipastikan kelangsungannya. Bukan dipotong peruntukannya. Pendidikan adalah suatu pelaburan masa depan untuk negara. Masa depan negara kita bergantung pada generasi yang sedang kita didik sekarang ini. Jika bobrok sekarang ini, maka bobroklah masa depan negara kita.
Kesan Penangguhan Program MyBrain15
Penangguhan program telah menyebabkan kesan domino di dalam institusi pendidikan kerana ianya memang saling berkait. Kesan utama akibat dari penangguhan ini adalah ia telah membantutkan usaha kerajaan dalam melahirkan 60,000 pemegang Phd menjelang 2015. Ini kerana, kos sara hidup yang tinggi telah menyebabkan golongan pelajar memilih untuk bekerja demi kelangsungan hidup. Untuk melangsungkan hidup pun sudah perit, apatah lagi untuk membuat peruntukan untuk belajar. Alamat, makan pasir sahajalah jawabnya.
Akibat kurangnya minat untuk pelajar menyambung pengajian mereka, jumlah pelajar pasca siswazah juga semakin menurun di university-universiti dan ianya telah memberi kesan kepada golongan pensyarah pula. Ini kerana, proses penilaian pensyarah dalam memastikan prestasi mereka juga bergantung kepada kerja-kerja mereka dalam menyelia kajian dari pelajar-pelajar pasca siswazah. Jika kurangnya pelajar, maka akan berkuranglah kajian yang boleh diselia dan kekurangan ini akan menyebabkan prestasi pensyarah juga akan merosot.
Ranking sesebuah universiti juga ditentukan oleh jumlah kajian yang telah dijalankan. Maka akibat kemerosotan jumlah pelajar, ia juga akan menjejaskan prestasi universiti itu sendiri. Geran-geran penyelidikan yang diperoleh oleh universiti juga sukar untuk digunakan akibat dari ketiadaan pelajar untuk membuat kajian dan penyelidikan. Tiada gunanya geran-geran penyelidikan yang diterima jika tiada penyelidik untuk memanfaatkan geran tersebut.
Dari aspek pelajar yang masih lagi meneruskan pengajian walaupun tanpa bantuan, kehidupan seharian mereka sangat survival. Ada yang terpaksa melakukan pekerjaan sampingan seperti membawa Grab dan sebagainya demi memastikan peruntukan untuk membayar yuran pada tiap-tiap semester. Ada juga yang terpaksa mengikat perut, lebih-lebih lagi pelajar-pelajar yang menuntut di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Jika tidak dicatu perbelanjaannya, maka tiadalah peruntukan untuk membayar yuran. Sepatutnya golongan ini diraikan kerana kegigihan mereka dalam memberi sumbangan berbentuk kajian ilmiah yang secara langsung menaikkan martabat negara. Malah, apa yang berlaku, golongan inilah yang terpilih untuk disisihkan kerana pada firasat mereka, implikasinya tidak bersifat akut dan hanya akan nampak kesannya 10-20 tahun akan datang.
Cadangan Penambahbaikan
Saya mewakili suara-suara pelajar-pelajar pascasiswazah yang lain menyeru agar pihak Kerajaan Perpaduan mempertimbangkan untuk membuka semula Program MyBrain15 ini. Kami golongan pelajar berasa amat yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sentiasa mesra dan dekat dengan golongan pelajar ini. Bagi mengurangkan beban kerajaan untuk menjalan program ini, usahasama dengan pihak swasta dan GLC amat diperlukan. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan boleh mengadakan sidang meja bulat dengan pemain industri serta GLC untuk membincangkan tentang mekanisme yang sesuai supaya mereka dapat sama-sama membantu mengisi tabung MyBrain15 ini.
Pengecualian cukai serta insentif-insentif lain harus diberikan kepada syarikat-syarikat yang turut serta membantu memperkasakan program ini. Bagi syarikat-syarikat besar, pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar peringkat diploma dan sarjana muda bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka. Mereka mengadakan inisiatif ini adalah bertujuan untuk mendapatkan bekalan pekerja-pekerja mahir dan profesional bagi kemampanan syarikat disamping dapat menikmati pengecualian cukai daripada kerajaan. Inisiatif sedia ada ini boleh dikembangkan lagi ke peringkat seterusnya iaitu peringkat sarjana dan doktor falsafah dengan membuat memperuntukkan bagi mengisi tabung MyBrain15 ini.
Kami berasa yakin, jika pihak swasta sama-sama membantu perkasakan program ini, ia mungkin dapat menampung perbelanjaan program ini. Lagipun, manfaat yang bakal diterima hasil dari kajian-kajian dan penyelidikan ini pun turut sama-sama dinikmati oleh pihak swasta juga.
ABD MUTALIB ABD GAPAR seorang pemerhati bebas dan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai