SURAT | Sayangi diri sendiri sebelum orang lain
‘Sayangi diri’ atau lebih mudah dikenali dengan self-love adalah konsep yang sangat penting dalam kesihatan mental. Ia juga sering dikaitkan dengan belas diri atau self-compassion.
Kajian menunjukkan wanita lebih cenderung mengalami gangguan emosi (37.3 peratus) dan boleh diperincikan kepada stres (24 peratus) dan depresi (32.6 peratus), berbanding lelaki.
Antara faktor yang mendatangkan kesan terhadap emosi wanita ialah isu kewangan, rumah tangga (wanita turut dibebankan untuk menjaga anak-anak serta ibu bapa yang tinggal bersama walaupun berkerjaya), persekitaran kediaman, suami kurang bertanggungjawab dan banyak lagi.
Atas dasar tanggungjawab, wanita rela mengorbankan kebahagiaan diri sendiri untuk menjaga hati orang lain.
Menyayangi diri sendiri bukanlah bererti mementingkan diri tanpa memikirkan orang lain, tetapi ia lebih kepada berbuat ihsan, berlaku adil dan hormat terhadap diri.
Seringkali wanita mendahulukan kebahagiaan keluarga tanpa menghiraukan diri sendiri. Walhal, kebahagiaan yang utama hanya boleh dikecapi apabila seseorang wanita itu menyayangi diri sendiri dan ia akan terzahir juga kepada ahli keluarga.
Seseorang wanita yang menyayangi diri sendiri akan sentiasa berusaha untuk membuat sesuatu yang mendatangkan kebaikan dan menjauhi perkara yang boleh memudaratkan diri.
Wanita yang mempunyai sifat sayang diri yang tinggi mempunyai emosi lebih stabil dan mampu berdaya tahan, serta bangkit semula dengan cepat apabila berhadapan dengan cabaran dalam hidup.
Berikut adalah beberapa cara bagaimana seseorang wanita dapat mempraktikkan sifat sayang diri:
* Usah membandingkan diri dengan orang lain
Wanita harus percaya bahawa setiap individu mempunyai sifat baik, buruk, kekuatan, kekurangan, dan rezeki masing-masing. Pemikiran yang suka membandingkan diri dengan orang lain akan menyebabkan timbulnya keraguan terhadap kemampuan diri sendiri dan merasakan seolah-olah diri sendiri tidak cukup sempurna seperti orang lain.
Lebih-lebih lagi dalam zaman moden ini apabila media sosial menjadi sebahagian daripada hidup, masyarakat lebih cenderung untuk membuat perbandingan dengan kehidupan orang lain yang dirasakan lebih bahagia daripada mereka.
Perlu diingatkan bahawa segala perkongsian di media sosial tidak menggambarkan keseluruhan kehidupan sebenar seseorang.
Tanpa disedari, mereka mungkin sedang melalui pahit getir dalam kehidupan.
Perbandingan sosial melalui media sosial ini dikhuatiri akan memberi implikasi yang negatif terhadap kesihatan mental.
Wanita harus sentiasa ingat bahawa kehidupan di dunia ini bukanlah satu perlumbaan. Justeru fokuslah kepada kehidupan sendiri tanpa membanding atau membezakan diri dengan keadaan orang lain.
* Maafkan diri sendiri
Wanita juga perlulah sentiasa memaafkan dan belajar untuk menerima diri seadanya. Elakkan daripada berfikiran negatif, mengkritik, atau menyalahkan diri apabila gagal dalam sesuatu perkara.
Tiada manusia yang sempurna, dan semua orang pernah melakukan kesilapan dalam hidupnya.
Ada kalanya juga, pilihan atau keputusan yang dibuat tidak tepat atau tidak seperti yang diharapkan. Namun hakikatnya, perkara yang sudah lalu tidak dapat diubah.
Maka, andai terdapat kesilapan yang telah dilakukan pada masa lalu, maafkan diri sendiri.
Apa yang penting ialah penerimaan diri, belajar daripada kesilapan, memperbaiki diri sendiri dan bangkit semula meneruskan kehidupan dengan daya tahan yang lebih tinggi.
Wanita mampu menjadi lebih kuat, dewasa dan berhati-hati dalam membuat keputusan pada masa akan datang jika berfikiran terbuka dan mempelajari dari kesilapan lepas.
* Jauhi persekitaran yang toksik
Persekitaran yang toksik akan membawa aura negatif dan mampu mengganggu kesihatan mental seseorang. Dalam menjalani kehidupan seharian, wanita mungkin juga berhadapan dengan persekitaran mahupun orang yang toksik.
Ciri-ciri orang yang toksik termasuklah individu yang suka memandang rendah pada orang lain, suka bersaing, suka mengkritik dan menyalahkan orang, sering bergosip dan bercakap tentang perkara-perkara negatif dan sebagainya.
Lebih baik cuba sebaik mungkin untuk elakkan diri daripada bergaul dengan orang-orang yang toksik.
Sekiranya tidak boleh dielakkan, maka penting untuk wanita menetapkan sempadan dan bersikap tegas apabila berhadapan dengan mereka.
* Fokuskan kepada perkara yang boleh dikawal
Wanita lebih mudah berasa bimbang dengan perkara yang membabitkan orang lain. Sering juga wanita terlalu memikirkan pandangan mahupun tindakan orang lain.
Apabila berada di dalam situasi yang mengganggu emosi dan pemikiran terutamanya, wanita yang terlalu memberi tumpuan kepada perkara-perkara di luar kawalan sendiri akan lebih cenderung untuk merasakan kehilangan harapan atau upaya.
Sebenarnya, terlalu banyak perkara yang tidak mampu untuk dikawal oleh seseorang mahupun menentukan keputusannya.
Kebimbangan yang melampau kepada perkara-perkara tersebut boleh menggugat kesihatan mental wanita.
JUsteru bermula hari ini, cuba sebaik mungkin bebaskan diri daripada memikirkan perkara yang di luar kawalan. Berhentilah membazirkan masa dan tenaga kepada perkara yang di luar kawalan.
Alihkan fokus terhadap perkara-perkara yang berada dalam pengaruh dan kawalan diri sendiri terutamanya persepsi, emosi, dan tindakan diri sendiri.
Wanita yang menumpukan sepenuh perhatian kepada perkara yang boleh dikawal, mampu menyelesaikan masalah dengan lebih efektif.
* Beri penghargaan kepada diri sendiri
Cuba fikirkan, bila kali terakhir anda - sebagai wanita - memberi penghargaan kepada diri sendiri?
Sebenarnya, walau sesibuk mana pun kita, menjadi keperluan dan tanggungjawab untuk kita meraikan diri sendiri walau sekecil-kecil kebaikan yang telah dibuat mahupun pencapaian yang diperoleh.
Mungkin ia nampak remeh tetapi amalan sebegitu banyak manfaatnya. Memberi penghargaan kepada diri sendiri bukan sahaja dapat meningkatkan motivasi diri untuk lebih bertanggungjawab malah boleh membuang pemikiran negatif terhadap diri sendiri.
Walau dalam situasi yang sukar, wanita perlu selalu mengingatkan diri sendiri tentang segala nilai positif yang ada dalam diri dan menghargai segala usaha diri dalam mengharungi rintangan.
Kepada semua wanita di luar sana, ayuh tingkatkan sikap menyayangi dan santuni diri sebelum menyayangi orang lain.
DR NURSYUHAIDAH MOHD KADRI ialah pensyarah kanan, manakala DR AZMAWATY MOHAMAD NOR merupakan ketua Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai