Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Chang Kim 'kebudak-budakan' pertikai penyertaan Ka Siong ke China

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor Teng Chang Khim dilihat tidak profesional dan ‘kebudak-budakan’ apabila mempertikaikan penyertaan Presiden MCA Wee Ka Siong dalam rombongan lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke China.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Bandar Baru Klang, Teng sepatutnya turut berasa bangga atas kejayaan Anwar menarik komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion daripada China.

Namun, dia bukan sahaja tidak meraikan kerajaan perpaduan malah cuba merosakkannya dengan pelbagai andaian dan tohmahan, hanya semata-mata kerana agenda politik sempitnya.

Sesebuah lawatan rasmi oleh seorang ketua kerajaan sudah tentu telah dirancang dan diatur dengan teliti, justeru kehadiran Wee bukanlah secara kebetulan. Dia sendiri sudah menjelaskan bahawa perbelanjaan perjalanannya adalah ditanggung olehnya sendiri dan tiada sesen pun duit rakyat digunakan.

Ini termasuklah pemimpin-pemimpin MCA yang lain, turut menanggung sendiri perbelanjaan masing-masing.

Teng boleh merujuk kepada rakan-rakan DAP yang turut serta dalam rombongan bagi mendapatkan gambaran yang tepat sebelum membuat rumusan sempit yang boleh menjejaskan partinya mahupun kerajaan yang didokong partinya.

Teng seharusnya bersikap terbuka, matang dan berlapang dada serta perlu menjadi seorang pemimpin yang bersedia bekerja dalam pasukan.


LAU CHIN KOK merupakan ahli jawatankuasa Pusat MCA.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.