Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kecapi keriangan Aidilfitri sebenar tanpa gajet

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

“Oh oh oh, balik kampung, oh oh oh balik kampung, hati girang”. 

Seringkali itulah yang menjadi siulan orang ramai apabila lagu Balik Kampung nyanyian arwah Sudirman berkumandang di corong radio. 

Ia juga menyemarakkan lagi semangat sewaktu memandu pulang ke kampung untuk berhari raya. 

Perasaan yang terbit dalam diri untuk bersama-sama keluarga tercinta berbeza dengan hari cuti yang lain kerana ia mengundang kebahagiaan dan kegirangan untuk menyambut hari lebaran. 

Ia merupakan satu hari kemenangan bagi umat Islam yang telah pun berpuasa sepanjang bulan Ramadan. 

Perjalanan pulang ke kampung juga merupakan satu aktiviti yang perlu dirancang, bermula dari persiapan raya untuk dibawa pulang ke kampung halaman, memastikan kenderaan telahpun diservis dan dalam keadaan baik, termasuk menguruskan keperluan diri dan anak-anak. 

Di Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi ini, pastinya akan diraikan dalam keadaan meriah memandangkan ini merupakan tahun kedua semua dapat beraya dengan sanak saudara tanpa sekatan kerana akhirnya negara berjaya menangani kemelut pandemik Covid-19. 

Perayaan ini bukan sahaja akan diraikan oleh umat Islam di Malaysia sebagai tanda kemenangan dan menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan; tetapi turut sama diraikan oleh pelbagai bangsa yang berkunjung ke rumah terbuka. 

Alat peranti atau gajet digunakan untuk mengabadikan kenangan di hari raya dengan merakamkan momen-momen indah dengan kamera atau video. 

Ia merupakan satu alat komunikasi penting yang mempunyai banyak kebaikan. Sebagai contoh, ia boleh digunakan untuk berhubung dengan satu sama lain di pagi raya, sama ada secara panggilan video, telefon atau Whatsapp. 

Aplikasi waze juga boleh digunakan bagi memastikan jangkaan tiba ke destinasi selain perjalanan lancar. 

Gajet merupakan satu keperluan di zaman moden yang serba canggih ini. 

Soalan yang seringkali ahli keluarga termasuk anak-anak ajukan adalah: “Di kampung nanti ada internet tak ayah? Dan apa kata laluan?”.

Perjalanan pulang ke kampung boleh menjadi satu kegelisahan bagi anak-anak sekiranya kereta tidak dilengkapkan dengan tempat pengecasan gajet atau mungkin kawasan kampung yang didiami mempunyai akses internet terhad ataupun tiada akses langsung. 

Keseronokan pulang ke kampung itu mungkin hambar dan disulami dengan perbalahan dalam keluarga sekiranya mereka tidak dapat menggunakan gajet di hari raya. 

Barah ketagihan gajet 

Ketagihan gajet ini sekiranya tidak dipantau boleh menjadi barah dalam masyarakat terutamanya di hari-hari perayaan. 

Penggunaan gajet yang tidak terbendung ini memberi kesan negatif kepada orang dewasa dan kanak-kanak iaitu enggan memberikan kerjasama yang baik dan tidak mendengar kata apabila mereka tidak dapat akses kepada gajet. 

Kesan lain adalah apabila mereka ini tidak suka keluar rumah dan lebih rela terperuk di rumah bermain gajet. 

Secara tidak langsung wujud jurang interaksi sosial dengan orang lain yang boleh merencatkan minat dan fokus terhadap ziarah raya dan pengasingan diri berlaku. 

Selain itu, penggunaan gajet berlebihan turut menganggu kefungsian sistem kesihatan tubuh badan kesan dari kehidupan yang tidak aktif dan pemakanan yang tidak sihat.

Paling merisaukan adalah penggunaan gajet dalam permainan video yang ganas boleh menghasilkan kesan negatif terhadap tumbesaran anak anak dan turut diperhatikan dalam kalangan awal dewasa. 

Berikut adalah tips yang boleh digunakan bagi mengelakkan ahli keluarga dari terbeban dengan isu gajet: 

  1. Tegas dalam penetapan peraturan 

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, anda perlu memastikan anak anda mempunyai gaya hidup sihat dan tabiat yang sihat. 

Keputusan yang dibuat perlu disampaikan kepada ahli keluarga supaya mereka tidak menonton terlalu TV atau bermain komputer di hari raya. Pastikan anda menerangkan kepada mereka tentang peraturan yang dibuat. 

  1. Perancangan hari raya dibuat bersama 

Bagi memastikan penggunaan gajet dikurangkan, anda perlu memastikan aktiviti yang dirancang perlu penglibatan dari semua ahli keluarga supaya wujud perasaan dipunyai. 

Mohon anak-anak untuk turut serta senaraikan aktiviti sebelum dan sewaktu hari raya supaya mereka turut berasa seronok kerana mengambil bahagian dalam aktiviti keluarga. 

Ini termasuk membantu di dapur, membakar lemang, menukar langsir, mencuci kereta dan banyak lagi aktiviti yang boleh disenaraikan. 

  1. Libatkan ahli keluarga dalam aktiviti ziarah 

Seterusnya adalah untuk melibatkan anak-anak anda dengan aktiviti ziarah. Ceritakan kepada mereka tentang susur galur keluarga supaya mereka teruja untuk bertemu sanak saudara. 

Aktiviti ziarah boleh menjadi satu medan untuk merapatkan ukhwah dan silaturrahim bukan sahaja untuk ahli keluarga yang lama tidak bersua muka tetapi juga sahabat handai dan jiran tetangga. Perkenalkan anak-anak anda kepada semua. 

  1. Memberi ganjaran

Ganjaran di dalam psikologi bertujuan untuk mengekalkan tingkah laku yang positif. Penetapan matlamat atau sasaran boleh dibuat di awal bulan puasa sehingga ke hari raya. Ini membantu ahli keluarga untuk berasa seronok dan mempunyai sasaran untuk dicapai di akhirnya. 

Berilah ganjaran dalam bentuk apapun mengikut kemampuan kerana ianya secara tidak langsung memotivasikan ahli keluarga dalam usaha untuk mengenepikan atau mengurangkan penggunaan gajet atas usaha mereka sendiri. Mereka ini tanpa sedar dilatih untuk mengurangkan ketagihan kepada gajet. 

  1. Puji usaha ahli keluarga 

Akhirnya, adalah penting untuk memuji usaha ahli keluarga dan anak-anak anda apabila ada usaha untuk mengutamakan aktiviti lain dari masa yang diluangkan di skrin. Memuji tingkah laku positif akan menggalakkan anak anda untuk terus melakukannya. 

Pujian adalah sesuatu yang disukai oleh semua makanya ringankanlah mulut dan berilah pujian secara ikhlas kepada ahli keluarga dan anda pasti dapat melihat mereka tersenyum gembira. 

Hari Raya Aidilfitri, datang menjengah dan diraikan setahun sekali dan amalan ziarah menziarahi tanpa ketagihan dari penggunaan gajet yang berlebihan pastinya akan memberikan impak yang besar kepada ahli keluarga. 

Suasana raya yang lebih meriah dan penuh kegirangan dapat dirasakan apabila semua berkumpul dan berbual bersama. 


DR AZMAWATY MOHAMAD NOR merupakan kaunselor berdaftar dan ketua Jabatan Psikologi dan Kaunseling Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.