Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Cadangan untuk tangani punca utama masalah gelandangan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Statistik menunjukkan bahawa jumlah gelandangan telah meningkat secara ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

Antara 2000 dan 2009, purata gelandangan di seluruh Malaysia yang ditahan oleh pegawai kesejahteraan sosial setiap tahun adalah seramai 1,300 orang. Namun, dari 2015 ke 2019, jumlah kes golongan papa yang diselamatkan semasa operasi adalah seramai 14,863.

Dan sejak pandemik Covid-19 bermula, isu gelandangan telah menjadi satu masalah nasional. Dianggarkan warga kota yang menjadi gelandangan telah meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus sejak wabak itu. Perkara lain yang juga mengecewakan adalah bilangan gelandangan yang sebenarnya adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Punca-punca utama masalah gelandangan di Malaysia adalah tahap sosioekonomi mereka yang teruk dan sistem kebajikan negara yang lemah. Inilah yang sebenarnya menyebabkan ada yang menjadi gelandangan kerana mereka tidak mempunyai sokongan kewangan yang kuat serta stabil. Hanya reformasi sistem dapat menangani punca-punca ini secara berkesan.

Pihak kerajaan mesti mengambil pendekatan holistik melalui kementerian serta jabatan yang relevan untuk menangani punca-punca utama masalah gelandangan ini supaya ia dapat diselesaikan secara berkesan.

Antara langkah-langkah yang pihak kerajaan boleh ambil adalah:

  • Menyediakan perumahan kos rendah kepada golongan B20 yang termiskin di Malaysia.

  • Hentikan serta-merta amalan pengusiran terpaksa tanpa sekurang-kurangnya penawaran perumahan alternatif.

  • Menguatkan jaringan keselamatan sosial seperti mewujudkan suatu skim pencen supaya rakyat yang tiada sumber kewangan serta sokongan keluarga yang memadai tidak mudah menjadi gelandangan.

  • Memastikan semua rakyat di bawah umur persaraan diberikan keutamaan peluang pekerjaan berbanding pekerja asing supaya individu termiskin sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan secukupnya untuk menampung hidup mereka. Gaji tersebut haruslah pada tahap yang cukup tinggi dan yang sepatutnya bagi menampung sara hidup pada masa kini.

  • Satu skim pencen bagi warga tua yang secukupnya harus dilaksanakan bagi membantu menyokong saraan hidup golongan ini serta keluarga mereka daripada segi kewangan.

  • Memberikan orang gelandangan yang lebih berupaya pekerjaan yang bersesuaian supaya mereka dapat menyara diri.

  • Menambahkan pusat jagaan gelandangan yang menawarkan rawatan dan program pemulihan khususnya bagi penagih dadah seperti Desa Bina Diri (DBD). Pada masa sekarang, bilangan institut DBD di seluruh negara terlalu sedikit.

  • Membangunkan sistem pekerja kesihatan masyarakat yang memberikan sokongan emosi dan bimbingan kepada gelandangan di pusat jagaan. Mereka dapat membantu gelandangan memperoleh penjagaan kesihatan, pengangkutan dan makanan berkhasiat yang mereka perlukan. Semua ini dapat meningkatkan kesejahteraan golongan gelandangan ini secara keseluruhann serta menjadikan mereka lebih berdikari.

Setiap warga Malaysia tidak seharusnya hidup sebagai gelandangan. Mereka mempunyai hak asasi dan harus diberikan sokongan kewangan yang secukupnya untuk menyara hidup sendiri. Namun hanya pendekatan holistik yang menangani punca-punca utama masalah gelandangan dapat memberikan penyelesaian berkesan.

Oleh itu, sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kerajaan harus mengambil langkah-langkah holistik seperti di atas supaya masalah gelandangan dalam negara kita dapat diselesaikan secara berkesan.


RAVEEN VEERASENAN adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.