Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Caruman 20% KWSP: Perlu kaedah menang-menang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kelmarin ketika ucaptama perdana menteri di Perasmian Hari Pekerja, beliau bersedia meneliti dan menimbang cadangan menaikkan caruman KWSP sehingga 20 peratus kepada majikan seperti dituntut beberapa NGO berkaitan kesatuan sekerja.

Sebenarnya cadangan ini ada pro dan kontranya, baik untuk pekerja untuk tabungan mereka tetapi kurang baik untuk majikan.

Majikan sudah semestinya menanggung kos operasi pengurusan sumber manusia yang bertambah dan kos tenaga kerja yang tinggi yang secara tidak langsung mengurangkan daya saing dan minat pelabur asing untuk melabur di dalam negara.

Isu ini ibarat ditelan mati mak, diluah mati bapa, serba salah dibuatnya. Masing-masing ada pendapat dan pandangan berkenaan isu ini. Satu kaedah perancangan secara total perlu diambil kira daripada pelbagai sudut seperti ekonomi, sosial, kebajikan dan lain-lain.

Salah satu cadangan saya ialah kaedah "menang-menang" dan agak lebih rasional bagi semua pihak (pekerja dan majikan) sekiranya caruman KWSP 20 peratus ingin dilaksanakan.

Cadangan ini ialah memohon kerajaan melaksanakan "tier rate" mengikut "bracket" di mana lebih tinggi umur pencarum lebih rendah caruman KWSP seperti contoh berikut:

Umur 18-25 - 20%

Umur 25-35 - 17%

Umur 45-55 - 15%

Umur 55-65 - 13%

Saya percaya konsep atau kaedah di atas mampu mengimbangi kos syarikat dan juga menjaga kebajikan pekerja di waktu selepas bersara dengan tabungan KWSP yang tinggi.

Saya juga agak risau cadangan ini bakal dijadikan alasan oleh pelabur asing untuk menjauhkan diri dan bakal beralih ke negara jiran untuk melabur. Ibarat yang dikendong keciciran yang dikejar tak dapat. Kesian dan payah agensi pelaburan negara seperti MIDA di bawah MITI untuk mencari pelaburan asing kerana faktor utama iaitu kos sumber manusia yang tinggi.

Akhir kata, ini hanya pandangan peribadi saya berhubung isu caruman 20 peratus KWSP oleh majikan sebab ramai pihak di luar sana meminta padangan dan komen.


GULAM MUSZAFFAR ialah Ketua Umno bahagian Batu Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.