Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Hentikan polemik gila kuasa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Kecoh umpama tong kosong yang berdegar, kedengaran ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Namun Kelab Rakan Media Siasah Madani (Karesma) percaya bahawa gerakan jahat yang disusun ini sebenarnya hanya cita-cita palsu semata-mata.

Karesma berpendapat, usaha tersebut temu jalan buntu kerana tiada pihak waras yang berani untuk melanggar titah Agong yang tidak mahu sejarah tiga perdana menteri dalam sepenggal berulang.

Polemik merampas Putrajaya ini juga telah mengundang titah Sultan Johor yang mahukan kestabilan politik dan kemakmuran negara menjadi keutamaan.

Pihak yang terdesak kemaruk kuasa cuba bermain nombor untuk mendorong sokongan tambahan mencukupkan jumlah.

Hakikatnya jumlah mereka tidak pernah cukup apabila pembentukan kerajaan pasca PRU15 harus melibatkan blok parti politik ekoran akta antilompat parti.

Segala bentuk cubaan untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan secara tidak demokratik haruslah dikekang dengan ketegasan undang-undang, malah boleh diibaratkan derhaka kepada titah Agong.

Cubaan-cubaan yang akhirnya temui kegagalan ini juga secara tidak langsung akan memberi impak negatif terhadap kestabilan ekonomi yang ketika ini sedang dipulihkan secara bersungguh-sungguh oleh kabinet Kerajaan Perpaduan.

Karesma mendesak semua pihak hentikan segera kegilaan merebut kuasa. PRU15 telahpun berlalu, tunggulah hingga ia dibubar dalam lima tahun lagi.

Kini masa untuk buat kerja demi tanah air, semua pihak harus main peranan sewajarnya dalam usaha membawa kegemilangan Malaysia Madani.


EDY NOOR REDUAN merupakan pengerusi Kelab Rakan Media Siasah Madani (Karesma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.