Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Melangsaikan naik taraf Terminal 1 Seremban

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Isu naik taraf stesen bas Terminal 1 di Seremban bukanlah perkara baru. Sejak beberapa tahun belakangan ini, ramai pengguna dan peniaga mengeluh akibat isu kemudahan tidak diselenggara dengan baik, infrastruktur usang dan pengurusan terminal tidak sistematik.

Pertama kali beroperasi pada 1996, sehingga kini masih tiada perubahan ketara atau penaiktarafan dibuat agar bersesuaian dengan perubahan semasa dan kemajuan teknologi.

Terminal 1 merupakan hab pengangkutan awam utama di Negeri Sembilan bagi menghubungkan perjalanan dalam negeri dan antara negeri, terutamanya ke Port Dickson yang merupakan antara destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Selain itu, ia juga mempunyai jalan hubung dengan stesen komuter Seremban yang menghubungkan laluan antara bandar KTM Utara-Selatan.

Kebanyakan pelancong akan menggunakan tren dari stesen KL Sentral ke KTM Seremban dan mengambil bas di Terminal 1 untuk melihat pantai di Port Dickson.

Terletak berhampiran dengan Kuala Lumpur, dan kos sara hidup yang lebih rendah menyebabkan ramai orang memilih untuk tinggal di Seremban. Kebanyakannya akan menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api untuk berulang-alik bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas sekali gus mengurangkan kos harian.

Baru-baru ini, saya menghabiskan masa hampir dua jam berjalan dan berbual dengan pengguna serta operator bas di sekitar Terminal 1 Seremban.

Amat menyedihkan apabila keadaan stesen bas itu masih seperti 20 tahun dulu, atau lebih tepat, semakin usang.

Keadaan tandas misalnya, sangat kotor, licin dan tidak diselenggara dengan baik.

Tiada perkembangan jelas

Sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup juga tidak berfungsi sepenuhnya, alat pemadam kebakaran tidak mencukupi dan hos air keras tidak berselengara.

Pada waktu malam, banyak lampu tidak menyala dan keadaan menjadi sangat gelap. Ia merupakan risiko keselamatan terhadap penumpang jika jadual bas lewat petang.

Selain itu, terminal di situ juga tidak mempunyai sistem penjualan yang teratur apabila penjual yang tidak mempunyai kaunter boleh meletakkan meja di kaki lima di hadapan kaunter secara bebas.

Bas tanpa pas perjalanan yang sah pula boleh masuk dengan bebas untuk mengambil penumpang dan beroperasi seperti biasa. Keadaan ini membahayakan keselamatan pengguna terutamanya terdedah kepada penipuan dan kemalangan jalan raya.

Tambahan lagi, Terminal 1 Seremban tiada sistem paparan maklumat pintar atau digital yang sepatutnya boleh menyatakan maklumat perjalanan dan destinasi serta rujukan kepada pengguna.

Secara keseluruhannya, keadaan infrastruktur dan operasi terminal bas tersebut amat tidak memuaskan, justeru memerlukan penaiktarafan segera.

Lebih banyak tekanan perlu dibina untuk meneruskan projek tersebut keadaan menjadi lebih baik dan wajar. Penumpang pula sudah tidak mampu menanggung kelewatan ini.

Pada 2019, kerajaan Negeri Sembilan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerja menaik taraf Terminal 1 Seremban akan menggunakan dana swasta sepenuhnya.

Majlis Bandaraya Seremban (MPS) pula dikatakan dalam proses mengenal pasti syarikat yang layak untuk melaksanakan projek tersebut.

Namun disebabkan ketidakstabilan politik dan perubahan kerajaan akibat Langkah Sheraton projek tersebut masih belum diselesaikan.

Pada asasnya, perkongsian awam-swasta adalah melibatkan aspek kewangan, pembinaan dan operasi ke dalam kontrak perkhidmatan jangka panjang antara pihak berkuasa pemerolehan kerajaan dan firma swasta.

Ia lebih kos efektif berbanding kerajaan sendiri mengeluarkan wang atau meminjam sehingga mendatangkan beban. Perkongsian sebegitu bukanlah asing bahkan menjadi kebiasaan di dalam dan luar negara.

Menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam menaik taraf kemudahan awam adalah satu cadangan yang baik.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada perkembangan dan komunikasi jelas daripada kerajaan berhubung kerja-kerja naik taraf yang akan dilaksanakan.

Kerajaan negeri sepatutnya berkomunikasi dengan pihak berkepentingan secara berkesan sekiranya benar terdapat projek naik taraf yang akan dijalankan.

Ia mesti mengambil kira aspek pemeliharaan identiti dan pemasaran kreatif untuk menjadikan Terminal 1 Seremban pilihan terbaik untuk orang ramai. Antaranya ia mestilah boleh mengatasi kekangan fizikal seperti mesra orang kurang upaya dan warga emas.

Selain itu, kawasan sekitar terminal seperti laluan bawah KTM-Terminal 1 juga boleh dimanfaatkan dengan lukisan mural dan keunikan sejarah adat perpatih Negeri Sembilan.

Ia merupakan sistem nilai yang diwarisi sejak abad ke-14 merangkumi aspek etika, ekonomi, politik dan sosial yang masih diamalkan sehingga kini.

Akhir sekali, penggunaan teknologi baru seperti aplikasi telefon pintar perlu diwujudkan atau diintegrasikan dengan sistem sedia ada agar boleh diakses untuk memudahkan pengguna berdasarkan jadual perjalanan, kadar tambang dan status perkhidmatan.

Inisiatif sebegitu mampu menaikkan imej Negeri Sembilan dan pada masa sama merangsang minat pelancong untuk melawat dan menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan.


TARMIZI ANUWAR ialah anggota sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.