Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Sekolah di Kedah didakwa seleweng wang PIBG

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Dalam Anjakan 9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025, kerajaan telah menggalakkan kerjasama antara sekolah dan ibu bapa yang lebih mendalam serta meluas.

Namun, hubungan ini sering tergugat apabila ada isu pecah amanah dan ketidakpercayaan di antara ibu bapa dan pihak kepimpinan sekolah.

Inilah yang terjadi di sebuah sekolah kebangsaan di Kedah. Menurut bekas yang dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, berlaku sebuah kes penyelewengan kewangan oleh pihak pentadbir sekolah.

Walaupun perkara ini telah dibawa ke perhatian pihak berkuasa pendidikan daerah dan negeri, serta dilaporkan kepada pihak polis, namun sehingga kini kami tidak mendapat apa-apa maklum balas.

Gambar hiasan.

Bekas YDP berkenaan telah membuat aduan pertamanya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah pada 10 Oktober 2022 mengenai kesalahan pengurusan pengeluaran wang dari akaun PIBG.

Pada 8 Disember 2022, bekas YDP itu telah menghantar suatu lagi surat bertajuk memorandum sokongan dan tandatangan ahli jawatan kuasa PIBG sekolah tersebut bagi mendesak tindakan segera diambil demi kepentingan masa depan murid dan sekolah.

Pihak pentadbir sekolah tersebut telah membuat pengeluaran wang sebanyak dua kali pada 26 September 2022 sebanyak RM6,000 dan pada 1 Oktober 2022 sebanyak RM10,000 tanpa mengemukakan kertas kerja.

Apabila, YDP berkenaan pada ketika itu menggesa pihak sekolah untuk mengemukakan kertas kerja, pihak pentadbir sekolah telah memulangkan semula wang sejumlah RM10,000 manakala wang sejumlah RM6,000 tidak dipulangkan.

Kertas kerja langgar perlembagaan PIBG

YDP tersebut telah menghadiri mesyuarat PIBG di sekolah pada 11 Januari 2023, di mana akhirnya dia telah menerima suatu kertas kerja untuk pengeluaran dan penggunaan wang bernilai RM6,000 yang diambil pada bulan September 2022.

Dana itu dikatakan digunakan untuk program guru-guru dan bukannya untuk pembangunan fizikal sekolah seperti yang dinyatakan sebelum ini.

YDP tersebut telah menolak kertas kerja itu atas alasan ia tidak selari dengan tujuan permohonan pengeluaran wang dibuat dan ia telah melanggar perlembagaan PIBG.

Dua laporan polis

Mengikut perlembagaan, dana PIBG hanya boleh digunakan untuk manfaat murid-murid. YDP itu telah membuat dua laporan polis pada 9 Disember 2022 dan 23 Februari 2023 mengenai perkara ini.

Seramai 150 pelajar Sekolah tersebut menerima bantuan RMT (pelajar daripada keluarga pendapatan kapita bawah RM 310) manakala sekitar 35 peratus lagi pelajar adalah daripada golongan B40.

Ibu bapa murid-murid sekolah tersebut meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap pihak sekolah untuk menggunakan sumbangan yuran PIBG dengan baik dan ikhlas bagi kebajikan dan kepentingan anak-anak mereka.

Sidang media berkenaan telah diadakan di pejabat HWAM awal hari.


HAFARIZAM WAN & AISHA MUBARAK (HWAM) sebuah firma guaman yang berpengkalan di Kuala Lumpur.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.