Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Ingatan PM pada belia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Hari Belia Negara tahun ini sangat bermakna apabila akhirnya Majlis Belia Malaysia (MBM) diberikan hak dan tanggungjawab untuk menguruskan sambutan di peringkat kebangsaan.

Hari Belia Negara pada tahun ini disambut pada 28 Mei di Port Dickson.

Kejayaan MBM menganjurkannya mendapat pujian daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahi, malah dia mahu ia menjadi contoh kepada kementerian lain agar menyerahkan urusan sambutan perayaan tertentu kepada masyarakat sivil yang mewakili pelbagai golongan di Malaysia.

Sambutan Hari Belia Negara merupakan perjuangan panjang yang turut melibatkan Anwar sewaktu dia menjadi Presiden MBM.

Antara tuntutannya ketika itu ialah supaya perdana menteri, Abdul Razak Hussein, mengiktiraf kedudukan belia melalui penetapan 15 Mei setiap tahun sebagai Hari Belia Negara (selain menggesa penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara yang kekal berfungsi sehingga kini).

Anwar mengakui kepimpinan MBM ketika itu jauh lebih muda berbanding sekarang. Dia mengemudi MBM semasa berumur 26 tahun manakala kepimpinan utama MBM pada hari ini berumur atas 30 tahun.

Namun usia kepimpinan MBM yang lebih matang pada hari ini mendapat pujian perdana menteri kerana lebih bersedia untuk berhadapan dan bersuara dalam isu pembangunan negara.

Sempena sambutan Hari Belia Negara 2023, Anwaar mengumumkan peruntukan RM 5 Juta kepada MBM bagi membantu menampung kos operasi dan aktiviti yang diperlukan.

Pengumuman itu merupakan langkah positif ke arah hubungan lebih erat di antara MBM dengan Putrajaya membangunkan negara.

Sikap perdana menteri dilihat lebih lunak dan diplomatik berbanding sikap bersengketa yang pernah diamalkan oleh mantan menteri belia dan sukan, Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman sebelum ini.

Akibat sikap tersebut pembangunan belia di Malaysia tergendala sekitar 2018 hingga awal 2020 apabila dua pemegang taruhnya (MBM-Kementerian Belia dan Sukan) tidak bergerak secara seiringan.

Hadiah Anwar baru-baru ini menjadi simbol perakuan terhadap peranan penting MBM membangunkan belia di Malaysia. Justeru kemandirian MBM perlu terus terpelihara demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

Pada akhir ucapannya, Anwar mengingatkan golongan belia agar menjauhi perangkap perkauman yang boleh memecah-belahkan negara tercinta ini.

Perdana menteri mengakui pengalamannya bersama MBM menyebabkan dia berfikiran terbuka dan mampu menerima perbezaan agama dan budaya yang sedia wujud di Malaysia.

Belia pada hari ini harus mempunyai kerangka pemikiran yang sama dengan perbezaan antara individu tidak harus dijadikan sebab untuk mewujudkan permusuhan.

Justeru penyertaan belia dalam pertubuhan yang bernaung di bawah MBM sangat digalakkan bagi memastikan sebuah masyarakat majmuk yang aman dapat dikekal dalam konteks Malaysia.


MOHD FAUZI FADZIL ialah ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.