Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Selesai masalah air K'tan sebelum lombong nadir bumi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah (gambar, bawah) berkata PAS perlu terus diberi peluang memerintah Kelantan agar negeri ini jadi kaya hasil lombong.

Hujah ini agak logik kerana selepas berpuluh tahun memerintah Kelantan, sudah pasti hasil balak semakin berkurangan, sekaligus kantung kewangan negeri semakin kurus.

Menjelang PRN yang bakal tiba, pelbagai idea baru semakin bercambah, selain dari pemikiran di dalam atau di luar kotak, barangkali ia turut terbit tanpa kotak.

Janji terbaru PAS Kelantan kali ini agak berlainan dari kebiasaan yang diamal sebelum ini setiap kali menjelang musim pilihan raya.

Jika dahulu, PAS Kelantan akan kerap melaksanakan upacara menanam batu asas dan memacak papan tanda, sebagai alamat bahawa sesebuah projek akan dilaksanakan, jika rakyat terus beri peluang PAS berkuasa.

Kini, setelah kebanyakan batu asas yang ditanam dahulu sudah berubah menjadi batu nisan, dan segala papan tanda yang didirikan kini sudah menjadi semak samun dan hutan, mereka datang dengan janji untuk gali lubang.

Jika disemak manifesto PAS Kelantan pada PRU14 lalu, tidak sedikit projek pembangunan yang dijanjikan, yang mana kini hanya tinggal sebutan, contohnya janji liputan bekalan air bersih kepada 90 peratus pada 2021.

Tidak perlu tiru perangai sahabat mereka di Kedah, dengan membawa berita cakap besar kononnya mahu kayakan negeri dengan hasil nadir bumi, sedangkan projek batu asas sedia ada pun sudah banyak jadi tempat jin bertendang.


BACA BERKAITAN:

Jika PAS terus tadbir, Kelantan kaya melombong nadir bumi - Timb MB


Sudah berpuluh tahun PAS perintah Kelantan, masalah bekalan air bersih masih gagal diselesaikan, kini tampil dengan janji mahu korek lombong pula?

Ambik fikirlah adik, kakak, ayah, emak, pak cik, mak cik, saing sobat semua, apa nak jadi Kelate kita jika kekal serupa sekalo.


ARIFF BASHIRUDDIN RUSLI ialah Pengarah Pilihan Raya Amanah Kelantan.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.