Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kebebasan bersuara bukan musuh

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Prinsip kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat adalah sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia sejagat dan ia juga termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tidak perlu dilihat sebagai ancaman ataupun musuh pada setiap masa. Walaupun orang ramai sering diseru mengunakan kebebasan bersuara dengan baik dan penuh tanggungjawab, pihak pemerintah juga perlu memainkan peranan untuk memastikan hak asasi setiap rakyat untuk bersuara dan meluahkan pendapat terus dihormati dan dilindungi.

Kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat adalah penting untuk setiap manusia di atas muka bumi ini kerana melaluinya seseorang individu itu dapat melakukan pelbagai perkara seperti mempertahankan diri sendiri, membantu masyarakat sekeliling serta memajukan negara. Agak sukar individu, masyarakat dan negara untuk maju dan bergerak ke hadapan sekiranya hak mereka untuk bersuara dan meluahkan pendapat tidak dihormati.  

Setiap manusia dilahirkan unik dan berbeza dengan pelbagai ragam, pandangan dan pemikiran. Setiap keunikan dan perbezaan ini sekaligus melahirkan pelbagai jenis pemahaman dan pendapat yang berbeza antara satu sama lain. Perbezaan ini seharusnya didengar, dinilai dan dipertimbangkan untuk digunakan bagi membantu masyarakat dan negara untuk bergerak ke hadapan demi manfaat dan kebaikan semua pihak.

Sekiranya kita mewujudkan sebarang jenis undang-undang baru ataupun menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekang kebebasan orang ramai untuk bersuara serta meluahkan pendapat, ia dibimbangi boleh membantutkan kemajuan dan pembangunan negara kita.

Kebebasan bersuara adalah sebahagian daripada hak asasi setiap manusia. Artikel 19 Peristiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) dengan jelas memperuntukkan kebebasan setiap manusia di serata dunia untuk bersuara bagi meluahkan pandangan mereka. Penting juga untuk kita ketahui, kebebasan individu untuk bersuara juga penting bagi mengekalkan semangat demokrasi yang telah lama diamalkan dalam negara kita, iaitu semenjak negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Seperti yang telah dinyatakan, hak setiap rakyat Malaysia untuk bersuara juga telah jelas termaktub dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kebebasan asasi setiap warganegara. Kebebasan ini, serta untuk berhimpun dan berpersatuan, terkandung dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Ia adalah asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara, penting melindungi maruah setiap warga dan menjamin kemajuan dan pembangunan negara.  

Tidak dapat dinafikan setiap jenis hak asasi yang telah diperuntukkan termasuk kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak. Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana- mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan”.

Dengan ini, Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara melalui undang- undang jika mendapati ia perlu demi menjaga kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral. Sekatan yang dikenakan terhadap perkara ini dilihat menjadi satu keperluan penting supaya tidak ada mana-mana pihak dalam negara kita yang menyalahgunakan atau mengambil peluang di atas prinsip kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat yang telah diberikan.

Walaupun kebebasan bersuara boleh dihadkan berdasarkan peruntukan ini, namun ia tidak bermakna kerajaan boleh merangka sebarang undang-undang bagi menutup terus kebebasan setiap rakyat ataupun menggunakan sebarang jenis peruntukan undang-undang sedia ada dalam negara kita bagi mengekang hak setiap rakyat untuk bersuara. Hak orang ramai untuk bersuara mesti diberi keutamaan supaya setiap orang tidak merasakan diri mereka dipinggirkan atau disisihkan dalam pembangunan negara.

Semua pihak harus berani mendengar luahan hati setiap orang walaupun ia satu proses yang sukar dan berat untuk dilakukan. Setiap pandangan harus didengar dan difahami dengan baik. Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pendapat, proses perbincangan dan perdebatan perlu dilakukan supaya semua pihak yang terlibat dapat memahami dengan lebih baik apa yang ingin disampaikan oleh mereka serta menyelesaikan sebarang jenis isu ataupun masalah berbangkit.


MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.