Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Masihkah kau ingat, Min?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Menemui Datuk Seri Azmin Ali yang telah menerajui konspirasi untuk menikam kawan-kawan dari belakang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Untuk tujuan hubungan baik kita sebagai sahabat dunia akhirat - sebagaimana yang Datuk Seri nyatakan sebaik saja selesai mengangkat sumpah jawatan menteri besar - benarkanlah saya menggunakan panggilan Min sahaja.

Baru-baru ini Anwar Ibrahim berceramah di kawasan DUN Hulu Kelang. Dia baru saja selesai mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam. Pada petangnya dari Lapangan Terbang Hanoi dia tiba di KLIA, Sepang dan terus ke tempat ceramah di Taman Keramat yang juga dipanggil Flat Keramat Pangsa.

Pada 2008, ketika baru memenangi Hulu Kelang tempat itu dikenali sebagai Colombia kerana di situ terdapat aktiviti gelap pemprosesan dan penjualan dadah haram.

Di situlah juga terdapat aktiviti jual beli dadah serta kartel pemerdagangan manusia seperti yang giat berlaku di Colombia, Amerika Selatan.

Saya antara manusia yang tidak suka memburukkan imej sesiapa atau memberi gelaran-gelaran buruk ke atas sesuatu selaras dengan tegahan tuhan dalam al-Quran.

Hasil kerjasama semua pihak termasuk polis, Pusat Khidmat DUN Hulu Kelang, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pejabat penghulu dan Agensi Antidadah Kebangsaan, kami menasihatkan orang ramai agar tidak menggelarkan kawasan itu Colombia lagi.

Ramainya yang hadir

Saya percaya Min masih ingat lagi dalam satu ucapan di Keramat Pangsa, Min memuji dengan mengatakan saya adalah Adun terbaik sejak negara kita merdeka.

Cuma itulah, saya tidak makan dipuji dan tidak mudah dilambung tinggi!

Dengan pengakuan seperti itu, saya fikir ia akan menjadi asas terbaik bagi saya kerap membincangkan kaedah membangunkan Keramat Pangsa.

Namun setiap kali saya mengajukan permintaan untuk mengadakan mesyuarat tentang pembangunan semula Keramat Pangsa, Min tidak pernah menunjukkan minat.

Termasuk Sabtu lalu, dalam masa setahun sudah dua kali perdana menteri ke-10 telah datang ke Hulu Kelang. Pertama kali, untuk berkempen bagi memenangkan calon Parlimen Gombak, Amirudin Shari dalam PRU ke-15, dan terbaru ini untuk memenangkan calon PH-BN dalam pilihan raya negeri (PRN) mendatang.

Anwar Ibrahim

Saya percaya Min tahu betapa ramainya penduduk dan orang ramai yang hadir dalam kedua-dua ceramah tersebut.

Saya lihat Anwar sangat teliti dan fokus dalam membentuk kekuatan kami bagi memastikan terkuburnya setiap langkah pengkhianatan dan pada masa sama pengkhianat dinyahkan dalam dari landskap politik Malaysia.

Mesej Anwar sangat jelas - dia mahukan kebangkitan jati diri Melayu-Nusantara diperkukuh demi menghukum sehina-hinanya orang yang khianat.

Pada zaman silam, jika ada langkah khianat dibongkar, pelakunya dihukum bunuh, rumahnya dibakar dan tanah yang menjadi tapak rumah dikorek untuk dibuang.

Apa saja bahan atau barang yang berkaitan akan dihumban ke laut.

Mahu miskin tegar terbela

Dalam naratif yang lebih ngeri, seorang pengkhianat kepada negara dan bangsa biasanya dihukum sula, iaitu menusuk sesuatu benda tajam dan panjang dari dubur hingga menembusi mulut.

Sula dilakukan ke atas pesalah jenayah berat pada zaman feudal.

Min mesti sudah banyak kali khatam akan kisah Si Kitol dan Raja Mendaliar.

Sekarang jika benar Min mahu bertanding sebagai calon PN perlu saya ingatkan bahawa sebagai bekas Adun Hulu Kelang selama tiga penggal (2008-2023), saya dan rakan-rakan akan berdepan dengan Min habis-habisan.

Amirudin Shari

Saya memang akan ingat Min adalah calon pertama daripada kumpulan Reformasi (Barisan Alternatif) yang memenangi DUN Hulu Kelang pada PRU 1999.

Saya juga mendengar cerita bahawa calon lawan di situ teringin betul menjadi menteri besar Selangor tetapi dia kecewa apabila tumpas kepada Min.

Namun saya juga ada mendengar daripada mulut pendukung PKR Hulu Kelang bahawa kekalahan calon BN ketika itu berpunca daripada 'perdagangan jual-beli' yang dilangsungkan.

Cepat-cepat hentikan cakap-cakap mereka itu.

Dengan semangat membara dan hati yang cekal Anwar menegaskan dia menyasarkan pada hujung 2023 tidak ada seorang kalangan miskin tegar di negara ini yang terbiar atau tidak menerima sebarang bantuan kerajaan.

Saya perhatikan dalam ucapannya, amat terserlah keberanian Anwar untuk menyanggah amalan rasuah sesiapa saja terutama pemimpin-pemimpin parti politik.

Walaupun saya kenal dan berunding dengan Anwar sajak masih belajar di United Kingdom, penampilan pada 22 Julai lalu memberi keyakinan berlipat ganda kepada saya bahawa dia bakal dianugerah makam yang mulia di sisi Allah.

Dengan azam yang cukup padu dan tegas untuk memerangi rasuah hingga ke akar umbi, sudah pasti Anwar akan dimusuhi kalangan yang takut kepentingan mereka terhapus.


SAARI SUNGIB ialah bekas Adun Hulu Kelang dari Amanah-PH.

Artikel ini ada pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.