Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Cipta budaya politik baru sempena PRN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Berita pemergian allahyarham Salahuddin Ayub meruntun jiwa ramai warga Malaysia.

Persaingan politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) seakan-akan terhenti buat seketika.

Selain liputan media massa, banyak cerita baik mengenai allahyarham dikongsi menerusi pelbagai sudut pandang berbeza.

Inisiatif “Rahmah” yang diusahakan beliau semasa berperanan sebagai menteri perdagangan dalam negeri serta kos sara hidup, mula diperkatakan kembali di samping beberapa perkara positif lain berkaitan bidang tugasnya.

Reaksi-reaksi sebegini sangat bererti dalam politik negara ini, kerana ia menandakan amalan politik matang berdasarkan khidmat dan fakta masih subur jauh di lubuk hati masyarakat kita.

Salahuddin Ayub

Politik khidmat merujuk pada sejauh mana sesebuah pemerintah menjaga kebajikan rakyat di bawah bidang kuasanya.

Dalam politik fakta pula, secara ringkasnya, masyarakat disalurkan maklumat mengenai dasar yang hendak dilaksanakan membabitkan kepentingan mereka.

Dengan amalan politik berteraskan khidmat serta fakta ini, gejala negatif yang seakan tidak dapat dipisahkan daripada politik seperti fitnah, cela mencela, dan manipulasi emosi akan dapat dibendung.

Apa perlu kita buat?

Apa yang patut kita buat setelah penamaan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada 29 Julai?

Jawapannya: Teruskan hidup seperti biasa.

Apapun sehingga 12 Ogos aktiviti harian kita tidak lekang daripada apa-apa perkara mengenai PRN.

Secara realistik kita tidak menghalang masyarakat sekeliling kita daripada memperkatakan mengenai PRN.

Apatah lagi jika kita berada di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor, dan Negeri Sembilan. 

Namun kita boleh mengubah bagaimana calon Adun serta parti politik mereka berkempen.

Sebagai pengundi, kita perlu desak seseorang calon Adun menjelaskan apa yang hendak dilakukan partinya jika membentuk kerajaan pada 12 Ogos kelak.

Ini kerana sesebuah kerajaan negeri dibentuk oleh parti-parti politik yang memperolehi kerusi paling banyak untuk membentuk majoriti. 

Setiap kerusi diwakili oleh seorang Adun yang akan dipilih daripada kalangan calon untuk sesebuah kawasan. 

Sebab itu dari satu sisi seseorang pengundi juga perlu menilai seseorang calon berdasarkan manifesto parti yang diwakilinya.

Dalam konteks PRN, parti politik yang bertanding perlu menyenaraikan apa yang ia ingin lakukan sebagai pentadbir negeri, khususnya membabitkan pentadbiran hal ehwal agama Islam, air, tanah, serta hutan, dan pengurusan serta pembangunan kemudahan di peringkat majlis perbandaran yang turut meliputi kawasan kediaman kita.

Untuk parti politik yang berada di posisi penyandang atau pentadbir kerajaan negeri sebelum ini, mereka perlu menerangkan perkara-perkara yang telah dilakukan serta yang akan dilaksanakan jika diberi mandat sekali lagi.

Bagi parti politik yang menjadi pembangkang pula, calon-calonnya perlu menjelaskan apa yang ia ingin lakukan andai ia dipilih untuk membentuk kerajaan negeri kelak.

Dengan senarai semak seperti ini, kita sebagai pengundi dapat mengawal orang politik daripada perbuatan politik fitnah, kutuk-mengutuk, membunuh imej serta perwatakan orang lain, dan memanipulasi emosi untuk membenci orang lain.

PRN hanya akan berlangsung selama 14 hari. Tidak berbaloi kita bermasam muka sehingga membakar jambatan kerana terikut dengan desakan orang politik.

Pelihara politik dari ‘necessary evil’

Politik itu adakalanya tampak menggerunkan. Akan tetapi, allahyarham Siddiq Fadzil mengingatkan perlunya kemurnian politik dipelihara kerana ia merupakan alat untuk merealisasikan aspirasi serta kehendak rakyat.

Untuk itu menurut beliau menerusi buku Minda Melayu Baru, amalan politik berasaskan kejahatan yang diperlukan (necessary evil), perlu sama sekali dihalang daripada dijadikan justifikasi dan terus membudaya dalam kalangan masyarakat kita.

Buat rakyat di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang, selamat mengundi! 


FIRDAUS HAMSIN adalah penulis serta aktivis Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan. Antara tulisan di Malaysia Kini ialah "Iktibar dari Istanbul Untuk Malaysia Baharu".

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.