Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | PN Selangor tak konsisten pertahan Raja-Raja Melayu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kempen yang digerakkan oleh Media Penerangan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Negeri Selangor cuba untuk menggoncang keutuhan hubungan PH-BN sepanjang kempen PRN ini.

Usaha tersebut terpaksa dilakukan apabila melihat proses penamaan calon dan pembentangan manifesto PH-BN di negeri Selangor berjalan lancar tanpa sebarang kesan perpecahan antara anggota parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Media Penerangan PN di peringkat negeri Selangor secara jelas cuba untuk menghangatkan isu kedudukan Umno Selangor yang dianggap terpesong sebagai benteng mempertahankan Raja-Raja Melayu apabila berkerjasama dengan DAP.

Tuduhan tersebut dilihat tidak mencerminkan kedudukan sebenar parti komponen PN Selangor iaitu PAS dan Bersatu, kedua-dua parti tersebut pernah menjalinkan hubungan bersama DAP semasa menganggotai Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan sebelum tahun 2020.

Pada waktu tersebut mereka bersama-sama PKR dan DAP membentuk kerajaan Selangor.

Tidak timbul isu menggugat kedudukan Raja-Raja Melayu pada waktu tersebut, namun kini apabila Umno Selangor mula menjalinkan hubungan bersama PKR dan DAP maka wujud isu ancaman terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu.

Perbuatan menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang telah merendahkan susur galur Kesultanan Negeri Selangor dan mempersoalkan prerogatif baginda memilih menteri besar sehingga membangkitkan kemurkaan Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah adalah jauh lebih biadap.

Muhammad Sanusi juga tidak mengaku bersalah di mahkamah atas tindakan beliau yang memperlekehkan kedudukan Kesultanan Selangor.

Keadaan ini jelas membuktikan bahawa PN Selangor tidak konsisten dalam memperjuangkan isu berkaitan kedaulatan dan ketinggian kedudukan Raja-Raja Melayu.

Isu-isu yang dibangkitkan perlu neutral dan terpakai kepada semua pihak jika benar mereka jujur dalam memperjuangkan kedudukan Raja-Raja Melayu.

PKR Selangor sentiasa menjunjung tinggi kedudukan Raja-Raja Melayu.

Namun secara sahihnya, Sultan Sharafuddin telah memuatnaik titah baginda yang menyatakan "Perkara ini masih belum selesai" menerusi laman Facebook Selangor Royal Office berkenaan isu penghinaan yang telah dilakukan oleh Muhammad Sanusi.


MOHD FAUZI FADZIL ialah timbalan ketua penerangan AMK Selangor.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.