Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kenapa p'raya kerajaan tempatan satu pembaziran

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Desakan untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini bukanlah perkara yang baru diperjuangkan oleh parti politik di Malaysia.

Malah, ianya sudah lama menjadi idea pegangan sesetengah parti politik di Malaysia.

Kini, Muda dilihat memberi penekanan yang sama sebagaimana kenyataan Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi.

“Nak bagitahu kita tak ada pilihan raya PBT. Orang datang pada yang dipilih untuk adu. Laksana pilihan raya PBT,” katanya pada suatu ciapan di Twitter.

Ini mengesahkan lagi bahawa pilihan raya PBT ini merupakan sebahagian daripada manifesto parti tersebut.

Persoalannya, perlukah kita adakan pilihan raya PBT bagi pelantikan ahli PBT?

Antara hujah-hujah mereka yang menyokong keperluan pilihan raya PBT adalah atas dasar penyuburan demokrasi, supaya rakyat kenal ahli-ahli majlis kawasan mereka, adanya akauntibiliti dan lain-lain.

Namun, hujah-hujah ini dilihat tidak berbasis, kerana adakah dengan lantikan secara terus oleh kerajaan negeri menjadikan gerak kerja PBT tidak produktif dan tiada akauntabiliti?

Tanggungjawab k’jaan negeri

Hal ini sudah semestinya tidak benar kerana mereka dilantik terus oleh kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh menteri besar.

Merujuk kepada jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan, pelantikan PBT dan perkhidmatan berciri tempatan berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

Oleh itu, kerajaan negeri harus dipertanggungjawabkan sekiranya prestasi PBT kurang memuaskan.

Seterusnya, melihat dari sudut pandang kos pula, pilihan raya akan menelan perbelanjaan yang besar dan belum lagi kita ambil kira wang yang akan dibelanjakan oleh parti dan calon semasa berkempen.

Kenapa perlunya membelanjakan wang rakyat untuk perkara yang tidak mendatangkan impak positif kepada ekonomi rakyat secara langsung?

Akhir sekali, perlu juga kita pertimbangkan soal kestabilan politik yang pasti akan berlakunya ketegangan sekiranya ahli PBT merupakan dari parti yang berbeza dengan mereka di peringkat Kerajaan Negeri/ Persekutuan, sekali gus berpotensi untuk menjejaskan pembangunan dan pengurusan bandar.

Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa pilihan raya PBT bukanlah satu perkara yang penting untuk dilaksanakan kerana sistem yang sedia ada sudahpun memadai.

Bahkan, banyak lagi perkara mendesak yang perlu diberikan perhatian.


MUHAMMAD AMEER FAKHRI ialah pembaca Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.