SURAT | Promosikan khazanah tradisi negara di lapangan terbang
Pernahkah anda meletakkan diri di tempat seorang pengunjung ke Malaysia?
Bayangkan pesawat anda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL), disambut kehangatan cuaca khatulistiwa.
Lalu, apakah kedai pertama yang anda lihat? Adakah itu kedai nasi lemak, ambuyat, mi kolok, wade dan dim sum? Atau ia adalah kedai francais makanan segera popular yang diimport dari luar negara?
Adakah ia butik beg tangan mahal berjenama mewah Channel dan Prada, atau ia sebuah kedai yang menampilkan hasil kraftangan tradisional?
Jika saya seorang pengunjung ke sesebuah negara, sama ada sebaik sahaja saya tiba ke negara itu mahupun sebelum saya berangkat pulang, saya ingin sekali menikmati keunikan negara tersebut.
Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan khazanah tradisi pelbagai etnik dan budaya. Kepelbagaian ini terus subur dan dipupuk dalam keharmonian. Acuan keharmonian kita ini tidak dipaksakan dengan keseragaman.
Pelbagai bahasa boleh ditutur dengan bebas, pelbagai agama dianuti, pelbagai budaya dan tradisi bebas diamalkan. Dengan nada dan corak ini, kita seharusnya berbangga dengan harta tradisi yang kita miliki.
Namun, cukupkah kebanggaan itu sekadar terpendam di reruai-reruai terpencil anjuran Kementerian Perpaduan Negara atau yang senada?
Apakah cukup promosi khazanah budaya dan tradisi yang kaya dari negara kita ini ke mata dunia?
Konsep suatu budaya itu sarat dengan beberapa komponen termasuklah makanan, pakaian, permainan, muzik, perhiasan dan adat resam.
Antara semua komponen ini, makanan, pakaian, alat permainan, alat muzik serta perhiasan adalah budaya dalam kategori konkrit yang boleh dicapai oleh pancaindera fizikal.
Aneka makanan
Dari aspek budaya makanan, kita boleh memperkenalkan latok, burasak dan ambuyat dari Sabah; dari Sarawak ada keenakan mi kolok, laksa Sarawak dan kek lapis; tidak ketinggalan tradisi makanan Pantai Timur Semenanjung seperti nasi kerabu, nasi tumpang, nasi dagang dan akok.
Dari Utara Semenanjung, kita ada laksa Penang, nasi kandar, nasi dalca dan murtabak. Belum lagi kita ke Selatan Semenanjung yang menyajikan mi bandung Muar, laksa Johor, soto dan lontong.
Bahkan muruku, tose, mi wantan dan pau boleh diberi ruang untuk mendominasi keluasan lapangan terbang antarabangsa milik kita.
Kita lihat pula potensi komersial pakaian tradisi kita seperti sari, lehenga, ceongsam, samfu, kepelbagaian versi baju kurung, baju batik, kebaya, baju Melayu, samping dan tanjak serta tengkolok.
Usah sekali kita pinggirkan blaus badu sampit dengan kain sarung olos wanita Bajau, baju pendek sinuangga bersama kain labuh yang diikat rapi dengan tali pinggang himpogot kaum Kadazan-Dusun, atau baju pinongkolo wanita Murut yang diperbuat daripada kain kapas dan sarat dengan perhiasan manik-manik berwarna-warni.
Dari Sarawak pula, kita punya Ngepan Iban dan baju burung yang begitu cantik.
Saya tidak mampu menyebut kesemua jenis makanan dan pakaian tradisional milik kita. Apa yang saya sebutkan di atas cumalah contoh seimbas lalu.
Belum lagi kita perincikan alat-alat muzik tradisional seperti angklung, gambus, nafiri, caklempong, sompotan dan gamelan. Begitu juga dengan permainan tradisi seperti caplong, gasing, rampanau, wau bulan, sepak raga dan congkak.
Tonjolkan tradisi
Semua ini boleh dijual dalam saiz biasa dan juga saiz mini untuk diberikan sebagai cenderahati dari Malaysia. Ia pasti menarik lagi memberikan pulangan besar pada negara.
Bukankah banyak negara yang menonjolkan tradisi budaya mereka di lapangan terbang masing-masing dengan penuh bangga?
Lapangan terbang Lisbon di Portugal misalnya, terkenal dengan ikan sardin dan kod (Bacalhau) Lisbon yang paling enak.
Jika difikirkan, sukar untuk membawa barang hanyir itu ke lapangan terbang, jauh sekali untuk dipamerkan dengan bangga di sana.
Namun, itulah yang dilakukan dengan cara mempakejkan produk tersebut secara menarik dan tahan lama asalkan pengunjung masih sempat membawa kenangan indah negara itu pulang ke tanah air sendiri.
Bangkok pula berbangga dengan simbol gajah lalu dijadikan lambang yang gah berdiri di tengah-tengah lapangan terbang Suvarnabumi.
Cuba kita bayangkan seluruh kedai makanan dan barangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur didominasi oleh tradisi kita yang kaya lagi unik ini. Bukankah ia memberi pengalaman baru yang luar biasa kepada pengunjung?
Lapangan terbang kita seharusnya menjadi jendela yang menggoda hati pengunjung yang sampai bagi meneroka ke merata tempat di negara kita.
Kita persembahkan kepada mereka kedai-kedai di lapangan terbang ini pelbagai tawaran menarik untuk mereka bawa pulang dari negara kita sebagai kenangan indah yang sarat dan tidak mungkin dilupakan.
Saratnya kekayaan tradisi dan budaya negara kita ini tidak wajar dipertontonkan cuma di sudut sunyi laman sesawang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya semata-mata.
Wajar bersinergi
Sebaliknya, semua kementerian yang berkaitan sewajarnya bersinergi dalam memakmurkan penonjolan tradisi dan budaya Malaysia di kedai-kedai lapangan terbang antarabangsa kita.
Lapangan terbang kita adalah pintu pertama yang menyambut ketibaan dan merupakan jendela terakhir ucapan selamat jalan kepada pengunjung-pengunjung.
Sebagai penutup, saya lontarkan satu persoalan bersempena bulan kemerdekaan ini: Jika kita masih berasa kerdil dengan budaya dan tradisi kita sendiri dengan sejuta alasan, siapakah lagi yang mahu memartabatkan kekayaan tradisi dan budaya kita ini ke mata dunia?
DR ALWANI GHAZALI ialah ahli Kluster Perpaduan Nasional, Pertubuhan Ikram Malaysia.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai