Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kerana Ahok bukan 'orang kita'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penghujung 2016, suatu rombongan menziarahi bandar raya Jakarta, Indonesia, dan semua peserta sudah dipersiapkan jadual masing-masing.

Seperti biasa kumpulan berkenaan dikendalikan oleh seorang pemandu pelancong yang disediakan agensi yang bertanggungjawab menguruskan lawatan.

Seperti biasa peserta dibawa bersiar-siar di sekitar Jakarta yang pesat terus membangun hasil kerja buat pihak berkuasa tempatan yang ketika itu diketuai gabenor, Basuki Tjahaja Purnama yang lebih dikenali sebagai Ahok.

Antara kawasan yang ditunjukkan oleh pemandu pelancong ialah bekas 'kawasan hitam' kerana ia pernah menjadi pusat pelbagai kegiatan terlarang, termasuk penagihan dadah serta pelacuran.

Hasil ketegasan Ahok, kawasan-kawasan hitam itu bertukar wajah menjadi lokasi yang jernih lagi cantik seperti taman awam. Tidak ada lagi kegiatan tidak bermoral.

Menurut pemandu pelancong berkenaan perubahan itu adalah idea dan jasa Ahok yang mahu melihat Jakarta lebih maju serta harmoni.

Dia juga kelihatan bangga dengan usaha anak kelahiran Pulau Belitung itu.

Basuki Tjahaja Purnama

Kemudian salah seorang pelancong bertanya mengenai pilihan raya gabenor Jakarta yang akan tiba ketika itu. Dalam pemilihan yang menarik perhatian ramai itu Ahok - ketika itu berusia 50 tahun - akan dicabar ahli politik yang lebih muda, Anies Baswedan.

Pilihan raya bagi memilih gabenor Jakarta menarik perhatian bukan saja kerana tokoh yang dipilih bakal mentadbir kota raya yang besar dan sesak.

Jawatan gabenor Jakarta juga kadang-kadang menjadi batu loncatan untuk seseorang melangkah lebih jauh dalam politik, termasuk menjadi presiden Indonesia.

Pola perhitungan politik

Di sebalik nama sebenarnya - iaitu Basuki Tjahaja Purnama - Ahok ialah tokoh politik bukan Islam dan bukan Melayu atau Jawa. Dengan mendengar namanya, Ahok boleh difahami dengan mudah berbangsa Cina.

Pelancong terbabit kemudian bertanya siapa yang akan dipilih oleh pemandu pelancong itu apabila tiba masa mengundi nanti, sama ada Ahok atau Anies.

Sambil tersenyum, pemandu pelancong berkenaan menjawab, dia akan memilih Anies. Alasannya, walaupun Ahok sudah banyak berjasa mengubah wajah Jakarta, Anies merupakan orang Islam.

Anies Baswedan

Ia dinyatakan dengan yakin oleh pemandu pelancong terbabit walaupun hanya beberapa saat sebelum itu dia begitu memuji kerja buat Ahok sebagai gabenor Jakarta.

Kemudian apa yang berlaku adalah sejarah. Anies berjaya mendapat undi lebih banyak berbanding Ahok.

Antara lain kemenangan itu dibantu oleh mainan sentimen agama dan kaum oleh beberapa pihak termasuk kumpulan pendesak berpengaruh.

Demikian pola pemikiran dan perhitungan politik di Jakarta yang sedikit sebanyak turut diamalkan di negara ini.

Bagi sesetengah orang, pertimbangan baik dan buruk sentiasa perlu dirantai oleh penilaian berdasarkan bangsa atau kaum, dan agama.


TAN YUSOF ialah pemerhati politik yang mahu melihat Malaysia kekal makmur dan harmoni.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.