SURAT | Isu yuran siswa: Kementerian perlu segera campur tangan
Pertubuhan Jasanusa menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera campur tangan dalam menyelesaikan isu zero balance policy (dasar tiada baki) bagi pembayaran yuran mahasiswa di Universiti Malaya (UM) ketika ini.
Ia bukan sahaja boleh mengancam kesinambungan mahasiswa untuk meneruskan pengajian di universiti itu malahan turut memberi imej buruk terhadap sektor pendidikan tertiari ketika negara dilanda krisis “72 peratus remaja lepasan SPM enggan sambung pelajaran ke peringkat tinggi”.
Sungguhpun universiti awam (UA) diberi kuasa autonomi bawah Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara, untuk mengurus sumber kewangan sendiri, kebebasan itu tidak bermakna pengurusan UA boleh terus hilang sifat tanggungjawab sosial dan kemanusiaan sebaliknya hanya fokus terhadap keuntungan perniagaan.
Masyarakat masih melihat ijazah UA sebagai “sijil mampu milik” untuk semua golongan masyarakat dari pelbagai kemampuan ekonomi kerana pada persepsi mereka, tanggungjawab menyediakan pendidikan tertiari untuk rakyat adalah kewajipan kerajaan.
Namun, jika UA sudah dilihat menjurus kepada penjanaan kewangan seolah-seolah seperti institusi pengajian tinggi swasta, sektor pendidikan negara akan dilihat tidak lagi bertujuan untuk pemerkasaan komuniti atau memandaikan rakyat, sebaliknya perniagaan untuk menjana ekonomi.
KPT juga wajar menyemak kadar yuran pendaftaran pelajar baharu di UA yang ada sebahagiannya mencecah sehingga RM3,000 bagi membolehkan seseorang lepasan SPM memulakan pengajian di sesebuah UA.
Angka ini sangat tinggi dan semakin menjadi kebimbangan kepada ramai ibu bapa sehingga menyebabkan mereka lebih menyokong anak mereka menjadi pempengaruh media sosial atau pekerja gig berbanding memasuki universiti selepas cemerlang dalam SPM.
Sekiranya kuasa autonomi yang diberikan kepada UA mengakibatkan banyak UA bergelut dengan krisis kewangan dan budaya korporat yang tersasar dari budaya akademik, KPT wajar menyemak semula kuasa autonomi tersebut.
Janganlah sampai angka 72 peratus lepasan SPM enggan menyambung belajar, akan melonjak kerana ketika ini juga, trend murid tercicir SPM turut mula meningkat setiap tahun.
SAMSUDIN AWANG ialah presiden Jasanusa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai