Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | RCI cara tentukan kebenaran DNAA Zahid Hamidi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polemik isu DNAA Zahid Hamidi belum reda. 

Dari warung, kedai kopi, hingga ke mana-mana tempat termasuk kekecohan di Dewan Rakyat tiga hari yang lalu semasa PMX memberi penjelasan, ia makin mengelirukan. 

Ada yang bulat-bulat menolak penjelasan PMX dan ada yang menerima, terutama penyokong-penyokong tegar Pakatan Harapan (PH).

Pelbagai forum juga telah diadakan termasuk anjuran media sosial dengan berbagai ahli panel sama ada peguam-peguam dan ahli-ahli politik. 

Namun belum ada kesudahan, umpama guruh terus berbunyi namun hujan tidak turun. 

Maknanya, tidak ada jawapan mutlak yang tidak boleh dipersoalkan lagi di mana semua pihak mesti terima dengan berlapang dada.

Jalan terbaik ialah Putra mencadangkan kerajaan segera menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menentukan kesahihan kebenaran isu DNAA dari sudut perundangan yang telus dalam semua aspek tanpa meninggalkan setitik keraguan. 

RCI ini sudah menjadi keperluan yang terdesak kerana isu DNAA Zahid sudah menjadi isu nasional dan mendapat liputan berita dunia yang amat negatif terhadap imej negara. 

Ia amat memalukan.

Laporan penyiasatan RCI akan menentukan kebenarannya dan pasti dapat mengembalikan integriti Jabatan Peguam Negara, Kehakiman Mahkamah, dan Kerajaan Madani terutamanya PMX. 

Pasti dunia akan kembali menghormati negara Malaysia sebagai negara bermaruah, yang menunaikan janji, dan rakyat akan reda dan berlapang dada.

RCI hendaklah dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara yang dilihat berintegriti dan ahli-ahli RCI wajib dari kalangan profesional serta wajar dianggotai oleh seorang dari luar negara.

Putra sangat-sangat berharap kepada PMX dan kerajaan agar cadangan RCI ini dipertimbangkan dan diwujudkan segera. Semoga isu DNAA ini selesai dengan baik. 

Putra adalah parti yang bertunjangkan integriti, berprinsip moral, dan benar-benar menjunjung tinggi undang-undang dan perlembagaan negara. 

Doktrin Putra adalah kepentingan negara dan rakyat secara hakiki dan ajaran Allah adalah panduannya. Tiada hipokrit dan bersifat munafik.


IBRAHIM ALI ialah presiden Putra.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.