Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kritikan Syed Saddiq pada Belanjawan 2024 dangkal

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

SURAT | Kerajaan Perpaduan berjaya membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lalu dengan mendapat maklum balas yang positif daripada semua pihak.

Suara yang paling lantang bersyukur dengan pembentangan tersebut datang daripada penjawat awam apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran insentif awal sebanyak RM 2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah akan dilaku pada tahun hadapan.

Ia diberikan sementara menunggu semakan semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam disiapkan.

Pemberian insentif tersebut adalah tertinggi ketimbang insentif yang diberikan dalam belanjawan sedekad lalu.

Namun di sebalik berita gembira yang disahut oleh seluruh lapisan masyarakat di negara tercinta ini, hanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman saja yang berterusan mengkritik Belanjawan 2024 sebagai membazir dan melupakan janji.

Tuduhan Syed Saddiq berkenaan pembaziran dalam Belanjawan 2024 adalah berkenaan penukaran kereta Vellfire kepada kereta elektrik (EV) melibatkan jemaah menteri.

Perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum pembentangan Belanjawan 2024 Anwar mengumumkan bahawa Kerajaan Perpaduan bakal menggunakan EV sebagai kenderaan rasmi.

Ambil jalan tengah

Kenyataan tersebut bermaksud selepas ini bukan sahaja jemaah menteri akan menggunakan EV malah penjawat awam lain juga bakal menggunakannya secara berfasa.

Polisi tersebut dilaksanakan dengan tujuan supaya Putrajaya dijadikan model bandar rendah karbon Malaysia. Malah polisi tersebut akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk beralih kepada EV apabila pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti TNB, Gentari dan Tesla Malaysia dilakukan dengan memasang 180 stesen pengecasan.

Syed Saddiq turut membangkitkan isu pembaziran berkenaan pinjaman yang diberikan oleh Putrajaya kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi terus menampung pemilikan Boustead Plantations Bhd (Boustead Plantations).

Isu itu juga tidak memeranjatkan kerana Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan menyatakan sebelum ini bahawa Boustead Plantations perlu dijual bagi meningkatkan kecairan aset LTAT.

Namun penjualan tersebut disanggah oleh rakan-rakan Syed Saddiq dalam kalangan ahli parlimen pembangkang dengan justifikasi bahawa penjualan berkenaan tidak boleh dilakukan kepada syarikat bukan bumiputera seperti Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK).

Akibatnya kerajaan mengambil jalan tengah dengan memberi pinjaman kepada LTAT supaya Boustead Plantations kekal tidak terjual.

Adakah keputusan memberi pinajaman kepada LTAT itu boleh dianggap sebagai pembaziran walaupun dibuat demi memastikan aset negara tidak terjual?

Tuduhan pembaziran turut dilemparkan oleh Syed Saddiq terhadap apabila Kerajaan Perpaduan mengambil keputusan untuk mengekalkan peruntukan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Ahli parlimen Muar itu menuduh pemimpin kerajaan dulu tidak pernah bersetuju dengan pembentukan J-Kom.

Namun hakikatnya pemimpin kerajaan menolak penubuhan pada peringkat awal kerana tujuannya adalah untuk menghidupkan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Penolakan J-Kom pada peringkat awal adalah kerana ia mempunyai pertindihan kuasa dengan beberapa agensi kerajaan seperti unit komunikasi korporat (UKK), Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Malah J-Kom yang ingin menghidupkan peranan Jasa pada zaman pemerintahan PN untuk menyebar propaganda politik, bukannya merakyatkan inisiatif kerajaan.

Namun J-Kom yang berfungsi bawah Kerajaan Perpaduan adalah berbeza berbanding zaman PN apabila ketua pengarahnya Mohammad Agus Yusoff menyatakan mereka hanya menyampaikan wawasan Malaysia Madani tanpa menjadi alat politik untuk kepentingan pihak tertentu.

Usah jadi alat

Tuduhan Syed Saddiq berkenaan Kerajaan Perpaduan melupakan janji semasa membentangkan Belanjawan 2024 dibangkitkan dalam tiga bentuk iaitu pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), memansuhkan tol dan pemberian dana kepada ahli parlimen pembangkang.

Mungkin Syed Saddiq lupa bahawa kerajaan hari ini tidak mempunyai sebarang manifesto kerana tiada gabungan parti politik yang berjaya membentuk kerajaan secara bersendirian.

Kerajaan Perpaduan dibentuk atas nasihat Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan Perpaduan tidak pernah bertanding dalam PRU ke-15, jauh sekali membentangkan sebarang manifesto.

Walaupun PH berkuasa, janji manifesto mereka tidak boleh dibebankan ke atas gabungan parti politik lain yang turut menganggotai Kerajaan Perpaduan.

Kesimpulannya Syed Saddiq mengeluarkan hujah dangkal semasa mengkritik Belanjawan 2024. Dia harus sedar bahawa seluruh rakyat Malaysia sangat berbesar hati dengan hasil pembentangan belanjawan tersebut.

Jangan kerana terdapat segelintir ‘orang tua’ yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan Anwar, maka Syed Saddiq rela diperalatkan untuk menjadi jurucakap mereka.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.