Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Israel tidak kebal

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Walau apapun kemuncaknya, pertempuran terkini yang berlaku di Palestin telah memberikan tamparan yang hebat kepada Israel.

Sejarah menunjukkan status menang atau kalah sesebuah pihak dalam sesuatu peperangan juga berlaku berdasarkan kepada kesan psikologi yang diakibatkan sesudah peperangan.

Serangan Umum Satu Maret (1 Mac) ke atas Yogyakarta pada tahun 1949 sebagai contoh telah berjaya membantu meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Belanda sehingga ia terpaksa berundur dan mengiktiraf kemerdekaan Indonesia.

Tekanan itu berlaku walaupun para pejuang kemerdekaan negara tersebut yang hanya menduduki kota tersebut untuk seketika kerana ia telah mengisyaratkan Indonesia masih wujud di mata masyarakat antarabangsa.

Peristiwa serangan umum ini terbukti telah menundukkan pasukan tentera Belanda serta sekutunya yang di atas kertas mempunyai kekuatan ketenteraan yang jauh lebih hebat daripada pejuang kemerdekaan Indonesia.

Peristiwa serangan ke atas Flotilla ke Gaza atau insiden Marvi Marmara pada tahun 2010, sebagai contoh telah meruntuhkan keegoan rejim Zionis berdepan dengan tekanan masyarakat antarabangsa.

Ironiknya Benjamin Netanyahu juga adalah perdana menteri Israel ketika peristiwa tersebut berlaku.

Setelah beliau serta Israel bertungkus lumus mengetengahkan pelbagai naratif untuk meredakan tekanan yang dihadapi, akhirnya Benjamin Netanyahu terpaksa meminta maaf secara terbuka di atas peristiwa tersebut pada tahun 2013.

Permohonan terbuka walaupun tampak hanya membabitkan Netanyahu dan Erdogan, ia adalah simbol kekalahan negara haram zionis tersebut berhadapan dengan tekanan masyarakat antarabangsa.

Berbanding konflik bersenjata antara pasukan pertahanan Israel (IDF) serta Hamas sebelum ini, perhatian turut diberikan kepada kelemahan yang membawa kepada kegagalan Israel untuk menangkis terlebih dahulu serangan Hamas sebelum ia berlaku.

Retak menanti belah

Dalam tahun 2021, Dr Adnan Abu Amer, seorang penganalisis politik Universiti Ummah di Gaza mengatakan ketika itu IDF berhadapan dengan krisis kepimpinan di bawah panglimanya, Aviv Kochavi.

Kemampuan badan pertahanan itu diragui kerana kelemahan disiplin serta kemahiran dalam kalangan para anggotanya.

Keutuhan struktur IDF juga dipersoalkan kerana Aviv Kochavi dikatakan gagal mengawal tindak tanduk pegawai tinggi serta setiap ketumbukan di bawah pengawasan beliau

Pada tahun ini juga, Netanyahu dilaporkan agensi berita Turkiye, TRT, telah mencipta satu lagi struktur pengawasan berbeza untuk Tebing Barat yang membayangi bidang kuasa IDF.

Tebing Barat telah diletakkan di bawah pentadbiran dua sekutu politik beliau iaitu menteri kewangan Israel Bezalel Smotrich (ketua parti Religious Zionism) serta Itamar Ben Gvir (parti Otzma Yehudit) yang juga menteri keselamatan Israel.

Kedua-duanya mewakili parti berhaluan ekstrem kanan dalam pentadbiran Netanyahu.

Beberapa laporan media dari Israel sudah pun melahirkan kebimbangan terhadap tahap kesiagaan pasukan pertahanan negara tersebut beberapa bulan sebelum serangan berlaku.

Gambar fail, demonstrasi anti-Nentanyahu di Israel.

Sebagai contoh sistem persenjataan Iron Dome sudah diragui keberkesanannya.

Ada beberapa liputan media Israel telah melaporkan kegagalan Iron Dome menangkis beberapa serangan roket ke atas penempatan penduduk Israel termasuk ketika konflik di Gaza pada tahun 2021 yang lalu.

Kelemahan serta kegagalan ini dibayangi dengan pergolakan politik yang berlaku di Israel sebelum serangan tersebut berlaku.

Pada Julai lalu, badan perundangan negara tersebut telah meluluskan perubahan dalam sistem kehakiman negara tersebut, yang meminda kuasa mahkamah negara tersebut daripada menghalang sebarang keputusan tidak munasabah oleh pemerintah Israel.

Rombakan ke atas peruntukan yang dikenali sebagai reasonableness law dikritik masyarakat Israel kerana ia memberikan kuasa mutlak kepada pemerintah untuk melakukan apa sahaja tanpa kuasa semak imbang oleh badan kehakiman.

Apa selepas ini?

”Solidariti” yang dihulurkan penganjur Pesta Buku Frankfurt telah mendapat perhatian dalam kalangan komuniti penerbitan.

Persatuan Penerbit Emirates serta Persatuan Penerbit Arab serta sebuah syarikat daripada Malaysia (Karangkraf) telah dilaporkan menarik diri daripada menyertai acara tersebut.

Peperangan yang berlaku membabitkan Israel juga telah dijadikan alasan untuk membatalkan acara penganugerahan kepada seorang penulis Palestin, Adania Shibli.

Karya beliau iaitu “Minor Detail” ditulis berdasarkan kepada kisah menyayat seorang gadis Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel, telah mendapat perhatian komuniti penulis Eropah sehingga ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Jerman.

Peperangan di Gaza pasti akan berakhir.

Secara kasar natijah tidak dapat ditebak kerana dinamikanya dipengaruhi dengan keadaan geopolitik serta faktor diplomatik yang boleh berubah pada bila-bila masa.

Apa yang pasti kemelut terkini di Palestin sekali lagi telah menghakis keangkuhan Israel serta para pendukungnya, kerana kesedaran yang dipamerkan masyarakat antarabangsa semakin meningkat.

Persoalan yang perlu diutarakan bukan ”apa yang akan berlaku selepas ini?”

Sebagai permulaan kita perlu menjawab persoalan ini, ”apa yang boleh dilakukan selepas ini?”

Kerana Israel sebenarnya tidak kebal.


FIRDAUS HAMSIN ialah pembaca Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.