Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Malulah sikit dengan Heliza dan Hazwani

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT | Media melaporkan Heliza Helmi nyaris terbunuh di Gaza.

Saya tidak tahu perasaan orang lain tapi saya tetap ada rasa malu dan berasa amat rendah diri apabila membaca kisah pengalaman kedua-dua insan mulia ini.

Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan yang seangkatannya adalah kebanggaan rakyat Malaysia.

Semasa ‘pejuang-pejuang agama’ yang bertopengkan politik bangsa dan agama, anda berdua tidak pula mendabik dada menggelar diri pejuang jihad dan keadilan kemanusiaan di Palestin.

Ketika pejuang-pejuang parti politik agama dan bangsa menjerit-jerit mentafsirkan kafir sesama senegara, anda berdua senyap-senyap sudah berada di Gaza berbekalkan hanya ketaqwaan dan kesujudan kepada Allah.

Dan ketika ahli-ahli parlimen parti agama bangsa bermegah-megah menjerit-jerit tentang betapa hebatnya mereka menterjemahkan perjuangan Islam dan jihad, bertan-tan lori muatan bantuan kemanusiaan ke Gaza dari Rusia telah pun berlepas ke Mesir.

Dan ketika kamu semua masih sibuk bertengkar pasal kafir mengkafir di dalam Parlimen, kapal-kapal perang dari China sudah pun mula berlabuh di lautan berhampiran dengan negara Israel.

Semasa kamu sedang sibuk menilai tahap sokongan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap Hamas dan Palestin, beliau dipilih menjadi Koordinator antara Asean dan negara-negara Islam Teluk pimpinan Arab Saudi.

Dan ketika kamu semua sibuk berdebat tentang siapa lebih Islam dan berani berjihad, Anwar sudah membawa lebih RM100 juta bantuan ke Gaza.

Ketika kamu tanpa rasa segan dan malu menyinggung perasaan dan menyindir bukan Melayu dan bukan Islam dalam negara, dengan ayat-ayat pro komunis dan anti-Islam, negara anutan ideologi komunis Marxis dan Maois lah yang paling awal lantang menentang Israel dan Zionis.

Dan ketika kamu amat berselera membandingkan layanan pemimpin Arab Saudi terhadap Anwar, Raja Mohamad Salman lah yang menelefon Anwar untuk hadir dan berucap di Sidang GCC - Asean di Riyadh.

Sudah-sudahlah wahai ustaz-ustaz dan tok tok guru bertaraf kereta Vellfire dan Mercedes itu.

Kalau pun kamu tidak mahu mengakui tentang keterilbatan Anwar membantu rakyat Palestin, hubungan Anwar dengan PLO dan Hamas, hubungan Anwar dengan Gadaffi dan tokoh tokoh Islam dunia, eloklah kamu simpan sedikitlah rasa 'busuk hati' dan 'kebencian' tak bertepi kamu itu.

Kamu dan pemimpin parti yang senada dengan kamu pun masih belum ada 'Tiket Laluan Khas' ke syurga seperti yang kamu berikan jaminan sesama kamu sendiri.

Kalau pun kamu sudah hilang 'urat insaf dan malu' dalam sistem pensenyawaan kamu terhadap sesama pemimpin, malulah sikit dengan watak watak seperti Heliza dan Hazwani itu.


RAMLI MOHD YUNUS berasal dari Langgar, Alor Setar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.