Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT l Salah siapa projek rumah sakit atau terbengkalai?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SURAT l Saya tertarik membaca laporan di Malaysiakini, semalam mengenai projek rumah “sakit” dan terbengkalai.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasir dipetik sebagai berkata,sebanyak 90 projek perumahan swasta lewat disiapkan iaitu 9,376 unit rumah manakala 485 projek rumah swasta dalam kategori projek sakit iaitu 78,626 unit rumah dicatatkan sehingga 31 Ogos 2023.

Dia seterusnya berkata, cadangan adalah supaya dana jaminan khas digunakan bagi memulihkan projek terbengkalai. Ini khususnya berkenaan bagi projek perumahan mampu milik bawah RM300,000 dan bagi projek yang sudah melepasi sekurang-kurangnya 80 peratus status kemajuan.

Saya menyokong cadangan itu, namun persoalan saya sejak berdekad-dekad masalah rumah terbengkalai bereterusan.

Apa yang sudah jadi dengan cadangan hanya membenarkan pemaju perumahan menjual atau mengiklankan jualan selepas projek mereka  sekurang-kurangnya 90 peratus siap.

Cadangan itu ilham bekas perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi pada 2004. Ia bagi mengelak pemaju dengan menggunakan wang pembeli sedangkan rumah baru hendak dibina. Namun selepas lebih 20 tahun, ia masih tidak menjadi kenyataan.

Setiap tahun masih ramai yang diisytihar muflis kerana meminjam daripada bank untuk membeli rumah yang terbengkalai. Salah siapa ini.

Dengan kerajaan baru hari ini yang berdegar-degar kononnya perjuangan mereka adalah membantu rakyat, belum ada kedengaran bahawa mereka bercadang mahu meminda Akta Pemaju Perumahan 2002  bagi melindungi rakyat.

Sampai bila rakyat marhaen perlu diperah untuk “menggemukkan” para pemaju? 


KAMAL ABDULLAH adalah rakyat marhaen yang turut menjadi mangsa projek terbengkalai dan kini dicengkam oleh bank untuk membayar pinjaman setiap bulan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.