Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Siapa harus jawab isu beli ventilator rosak?

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

SURAT | Menurut Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), 104 daripada 136 unit ventilator yang dibeli oleh Pharmaniaga dari China pada tahun 2020 sehingga April 2022 telah didapati rosak.

Dimaklumkan juga, oleh kerana ketiadaan kontrak perjanjian, tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan atas masalah tersebut, merujuk kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pharmaniaga.

Kelab Rakan Media Siasah Madani (Karesma) menggesa agar kecelaruan yang berlaku ini ditangani dengan serius kerana ia melibatkan anggaran kerugian sejumlah RM13 juta ringgit.

Karesma berpendapat, kelalaian ini juga secara tidak langsung telah menggugat prestasi KKM ketika menghadapi pandemik Covid-19 yang membabitkan puluhan ribu kematian.

Apakah tidak keterlaluan jika dikatakan lebih banyak nyawa mampu selamat sekiranya ventilator yang diterima berfungsi dengan baik? Namun apa yang berlaku ialah, 76 peratus ventilator yang dibeli mengalami kerosakan.

Dengan peratusan rosak yang tinggi, apakah mereka yang bertanggungjawab dalam mengurus pembelian ini tidak meneliti tahap kualiti dari pembekal? Apakah mereka telah membeli ventilator mainan? Ini soal nyawa rakyat Malaysia, tidak harus sambil lewa.

Lebih parah, barangan yang rosak tidak boleh diganti dan tiada 'warranty' yang jelas. Ia seolah-olah satu pembelian yang sia-sia.

Karesma turut mendesak supaya menteri yang bertanggungjawab dari kerajaan terdahulu tampil memberikan penjelasan.

Jangan lari, sila jawab kerana apa yang terlihat adalah sebuah pentadbiran yang gagal mengendalikan pandemik.

Insiden yang berlaku ini wajar disiasat dengan lebih terperinci untuk melihat ia satu kelalaian yang harus dihukum atau telah berlaku aktiviti rasuah penyelewengan.


EDY NOOR REDUAN merupakan pengerusi Kelab Rakan Media Siasah Madani (Karesma).

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.