SURAT | Cabaran menanti Muda tanpa Syed Saddiq
SURAT | Keputusan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengundur diri sebagai presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) telah mencetuskan situasi tidak menentu dalam parti berkenaan.
Syed Saddiq melepaskan jawatan selepas didapati bersalah terhadap empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Pemuda Bersatu (Armada).
Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda sebanyak RM10 juta serta dua kali sebatan.
Pemimpin muda yang sebelum ini dilihat sebagai wajah serta suara bagi aspirasi generasi baru kini terpaksa meningggalkan takhta kepimpinannya untuk membersihkan nama.
Maka, situasi itu membuka lembaran baru bagi Muda iaitu mencari arah dan menentukan masa depan parti susulan ketiadaan figura utamanya.
Pelantikan Amira Aisya Abd Aziz sebagai pemangku presiden Muda menandakan satu peralihan kepimpinan yang boleh membawa kepada 'angin baru' atau sebaliknya.
Perubahan tampuk kepimpinan ini berlaku pada masa yang kritikal buat Muda.
Muda masih dalam proses memperkukuh kedudukannya sebagai parti politik yang serius dan berpengaruh selepas keluar dari blok kerajaan.
Muda sebelum ini menggambarkan parti itu sebagai suara generasi muda dengan memberi fokus kepada isu-isu seperti pendidikan, pekerjaan dan isu sosial.
Namun tanpa Syed Saddiq, parti tersebut mungkin berdepan cabaran dalam menarik perhatian orang ramai khususnya generasi muda.
Selain itu, cabaran utama buat Muda adalah membangunkan semula identiti parti yang terpisah daripada personaliti Syed Saddiq.
Sebagai presiden, Syed Saddiq sebelum ini memberikan banyak pendedahan tentang Muda menerusi media sosial.
Namun, Muda kini perlu menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka bukan sekadar platform bagi seseorang individu.
Salah satu langkah perlu dibuat oleh Muda adalah meningkatkan fokus kepada pembangunan dasar yang kukuh, penglibatan komuniti lebih meluas dan kepimpinan dalaman yang kuat.
Muda juga perlu membina pakatan strategik dengan parti lain dan memperkukuhkan penglibatan mereka dalam isu-isu penting negara.
MUDA turut berdepan cabaran untuk menunjukkan kemampuan mereka mewakili suara rakyat yang lebih meluas berbanding kumpulan pengundi sedia ada.
Muda perlu membawa aspirasi pengundi daripada pelbagai demografik yang mungkin memiliki keperluan berbeza berbanding pengundi muda urban.
Selain itu, wujud kebimbangan terhadap kemampanan kewangan bagi sebuah parti kecil sepertinya.
Pembentukan struktur yang kukuh dan pengelolaan sumber kewangan yang cekap adalah kunci bagi kelangsungan sebuah parti politik.
Tanpa kedua-dua usaha itu, Muda mungkin akan berdepan kesulitan dalam menjalankan operasi dan kempen politik mereka secara efektif.
Persoalan yang timbul kini adalah sama ada Muda mampu bertahan tanpa Syed Saddiq atau tidak.
Jika tidak bernasib baik, mungkin Muda akan menerima nasib sama seperti banyak parti politik baru yang tidak mampu bertahan.
Jawapannya terletak kepada respons Muda dalam menghadapi cabaran politik negara selepas ini.
Mereka perlu membuktikan bahawa parti itu bukan sekadar bergantung kepada Syed Saddiq.
Pastinya, ramai pemerhati politik ingin melihat perjalanan Muda selepas ini di bawah tampuk kepimpinan baru.
AZHAN ZAINUDDIN adalah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai