Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | PAS lemah, atau Bersatu berharap?

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

SURAT | Kenyataan Muhyidin Yassin yang menganggap pencapaian PAS sudah tepu dan tidak mungkin mencapai kejayaan besar tanpa PN samalah seperti dia melabel PAS sebuah parti yang lemah dan hilang arah.

Justeru bagaimana kita mahu mentafsir kenyataan Pengerusi PN tersebut?

Mari kita lihat dulu kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini mengakui dia 'menggunakan DAP' untuk melawan Najib Razak.

Masih ingatkah lagi bagaimana Mahathir bersorak-sorai bersama-sama dengan DAP sambil berpegang tangan ketika dia masih dalam Bersatu, dan Bersatu pula bersama-sama PH?

Ketika itu mereka sanggup 'menunggang' PH. Kini selepas beberapa tahun apakah jaminan untuk Bersatu kekal setia dengan PAS?

Bagi saya, tidak mustahil akan ada langkah lain diambil Bersatu. 'Langkah Pagoh' atau 'Langkah Larut' misalnya. Sekali khianat tidak mustahil akan khianat berulang kali.

Realitinya dan saya pasti ia dipersetujui ramai orang, Bersatu lebih memerlukan PAS, bukan sebaliknya.

Pasangan berkahwin pun boleh bercerai, inikan pula hubungan bersyarat seperti Bersatu dan PAS.

Apabila bergabung pula dengan 'mahaguru penunggang’ maka bolehlah kita labelkan mereka sebagai Gabungan Penunggang Nasional yang saling curiga mencurigai dan sedia khianat pada bila-bila masa.

Mungkin atas kesedaran itulah empat ahli parlimen Bersatu beralih sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Tidak mustahil akan lebih ramai lagi yang melakukan perkara yang sama.

Sejarah tidak pernah menipu dan sentiasa berulang. Sampai bila mampu bertopeng? Sekali sekala kena buka juga.


HAFIZZUDDIN RAZIAN ialah ketua Amanah Kawasan Kepong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.