Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Dunia lebih sihat melalui teknologi digital

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

SURAT | "Sebuah bahtera selamat di pelabuhan, tetapi itu bukan sebab bahtera dibina." Itulah kata-kata renungan ahli falsafah abad ke-19, William Shed. Demikian juga teknologi berpotensi tinggi, pasti tidak bernilai jika tidak digunakan sepenuhnya.

Sepertimana tahun 2020 dibentuk oleh pandemik Covid-19, digitalisasi adalah seperti 'bahtera’ berkargo teknologi yang sepatutnya bertindak mengubah cara kita berdaya tahan melawan bala penyakit berjangkit.

Namun, bahtera digitalisasi masih berlabuh di dermaga dan gagal berlayar memenuhi hala tujuan mengharungi lautan pandemik, yang sentiasa mengintai di kaki langit.

Walaupun digitalisasi menawarkan pelbagai kegunaan dan kebaikan dalam penjagaan kesihatan, ketenangan selepas ribut pandemik berlalu menyebabkan ramai terlepas pandang bagaimana digitalisasi telah memberi impak positif kepada kehidupan kita sepanjang pandemik, memberikan satu rasa keamanan dalam pelbagai aspek.

Bagi rakyat Malaysia, saya percaya seluruh negara mendapat manfaat daripada aplikasi MySejahtera. Inilah platform yang membawa kebaikan perkhidmatan menyeluruh kepada rakyat Malaysia, walaupun terdapat beberapa masalah kecil yang mungkin dihadapi oleh sesetengah pihak pada awalnya.

Aplikasi milik kerajaan MySejahtera dengan jelas mencerminkan bagaimana teknologi digital dapat memberi manfaat yang sangat besar apabila disepadukan dalam sistem kesihatan negara.

Teknologi digital dan persekitaran digital menawarkan peluang baru untuk mengenal pasti keperluan dan menyampaikan penjagaan kesihatan dari aspek pencegahan dan promosi kesihatan ke intervensi kuaratif dan pengurusan kendiri.

Pengurusan kesihatan proaktif, dibantu oleh alat digital, dapat memberikan manfaat besar dalam pencegahan penyakit dan peningkatan kebajikan dan kesejahteraan keseluruhan.

Sebagai contoh, baru-baru ini, saya membaca artikel yang menyatakan bahawa Malaysia mempunyai statistik diabetes tertinggi di Asia Tenggara. Pendedahan ini mendorong saya untuk merenung tentang pentingnya intervensi awal dan impak positif kemajuan teknologi dalam penjagaan kesihatan.

Dalam keluarga saya sendiri, khususnya perjuangan datuk dengan diabetes, menjadi pengingat yang menyentuh tentang batasan yang dihadapi oleh individu di masa lalu. Pada zaman itu, akses kepada teknologi perubatan terhad, dan beliau sering menyatakan keinginannya untuk lebih memperhatikan dietnya, yang akan mengelakkan komplikasi kesihatan yang timbul ketika umur lanjut.

Dalam konteks hari ini, tiga tahun selepas pandemik, MySejahtera masih relevan, antara lainnya memudahkan penjadualan temu janji dan penyimpanan rekod kesihatan. Hingga hari ini, ahli keluarga saya masih menggunakan aplikasi ini di telefon mudah alih kami. Sesetengah kenalan saya, menyesal kerana menghapus aplikasi ini dari telefon mereka, kerana gagal menyedari kegunaannya yang berterusan.

MySejahtera memudahkan pengurusan dan pemantauan kesihatan keluarga kami secara proaktif. Ini membolehkan kami mengambil keputusan terbaik dan berinformasi tentang kesejahteraan dan pasti akan menyumbang kepada pengurusan kesihatan kita dengan lebih baik, yang boleh membantu mencegah penyakit jangka panjang.

Aplikasi ini tidak hanya menawarkan bahan pendidikan mengenai penyakit yang lazim di kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga menyimpan data kesihatan peribadi penting, termasuk BMI. Maklumat ini berfungsi sebagai asas untuk penjagaan diri yang lebih baik dan pembuatan keputusan yang berinformasi. Dengan menggunakan maklumat di hujung jari, kita boleh bersama-sama berusaha ke arah masyarakat yang lebih sihat dan berdaya tahan.

Saya percaya bahawa mengambil pendekatan memantau kesihatan dengan arif dan bermaklumat sejak muda boleh membawa kepada hasil kesihatan yang lebih baik. Dalam kes datuk saya, sudah tentu jika beliau mempunyai akses kepada teknologi dan maklumat kesihatan hari ini, ia boleh menyumbang kepada pendekatan yang lebih proaktif terhadap pengurusan kesihatannya.

Impak positif teknologi dalam penjagaan kesihatan hari ini sangat menggalakkan, dan saya berharap kerajaan akan mengambil langkah untuk memperluaskan lagi penggunaan digitalisasi dan mendorong rakyat Malaysia untuk merangkul aplikasi ini sebagai pembantu dalam penjagaan kesihatan mereka.

Teknologi digital dan persekitaran digital telah tiba dan terus menerangi kehidupan kita. Adalah harapan kita agar bahtera 'digital' tidak kekal berlabuh di dermaga, tetapi bakal berlayar mengharungi lautan kesihatan dengan cemerlang.


NOREEN JASMY merupakan warga Kuala Lumpur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.