Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | MCA harap kabinet baru tumpu isu ekonomi, pendidikan

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

SURAT | MCA berharap para menteri dan timbalan menteri dalam rombakan kabinet sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada hari ini dapat mengamalkan pendekatan secara langsung, berorientasikan prestasi dan terus menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha-usaha menyelesaikan isu atau permasalahan rakyat.

MCA percaya, jemaah menteri yang baru dilantik ini dapat menambah baik kehidupan rakyat jelata dengan cara merancakkan pembangunan ekonomi negara.

Rombakan kabinet ini juga membuktikan bahawa PMX sendiri sedar akan kelemahan yang wujud di dalam kabinet sebelum ini sepanjang tahun lepas. Justeru itu, mesej yang ditekankan di sini kepada menteri dan timbalan menteri baru adalah, rakyat akan terus memerhati dan menilai prestasi mereka.

Berikutan rombakan kabinet ini, MCA berharap penumpuan akan diberi kepada isu-isu ekonomi dan pendidikan seperti berikut:

1) Ekonomi: MCA mengalu-alukan keputusan perdana menteri untuk melantik seorang menteri kewangan II. Keputusan ini juga selari dengan cadangan parti MCA sebelum ini. Menerusi pelantikan menteri kewangan II, perdana menteri boleh memberi lebih perhatian kepada kepimpinan makro barisan kabinet dan kerajaan, sementara menteri kewangan II memberi tumpuan kepada pengurusan dan perancangan pembangunan ekonomi.

Malaysia kini berhadapan cabaran ekonomi yang besar. Sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan setahun lepas, kos sara hidup dan harga barangan telah meningkat sementara pendapatan rakyat masih kekal sama. Nilai mata wang negara turut mengalami penyusutan, sementara aliran keluar modal asing dari Bursa Malaysia masih berterusan. Unjuran bagi pasaran saham, eksport dan pembuatan juga dijangka lebih rendah. Cabaran inilah yang perlu ditangani oleh menteri kewangan II dengan kadar segera.

MCA berpendapat bahawa Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan perlu mengutamakan pemulihan kelemahan sebelumnya yang dilihat tidak ada hala tuju dalam pembangunan ekonomi. Selain itu, perangkaan dasar pemulihan ekonomi yang jelas, praktikal dan mampu dilaksanakan juga harus dibuat dengan segera demi menambah baik kesejahteraan rakyat.

2) Pendidikan: Sepanjang tahun lepas, terdapat beberapa isu yang membimbangkan berkaitan dengan isu pendidikan, khususnya yang melibatkan pendidikan vernakular. Ini termasuk kekeliruan berkenaan jumlah guru bagi sekolah vernakular, keputusan akhir berkenaan projek 10+6 SJKC, peruntukan untuk sekolah pelbagai aliran, dan pengajaran serta pembelajaran subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.

Walaupun beberapa perubahan telah dilaksanakan, namun kekurangan komunikasi antara menteri dan timbalan menteri pendidikan masih mencetuskan kebimbangan.

Justeru itu, MCA berharap timbalan menteri pendidikan baru, Wong Kah Woh dapat memperbetulkan kelemahan-kelemahan timbalan menteri pendidikan sebelum ini, dan memikul tanggungjawab secara serius dalam usaha menyelesaikan isu-isu berbangkit.


WEE JECK SENG merupakan naib presiden MCA.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.