Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kehendak Islam atau PAS?

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kehendak Islam adalah melahirkan kedamaian dan kerahmatan sesama insan melangkaui warna kulit serta anutan fahaman ideologi.

Tetapi kehendak PAS bawaan Hadi Awang adalah hanya untuk kemenangan dalam perebutan kuasa politik untuk kepentingan peribadi.

Mereka sanggup menunggang ayat-ayat al-Quran yang ditafsir mengikut selera peribadi melangkaui konteks dan kehendak asal dan lari daripada tarbiah arwah Nik Aziz serta arwah Fadzil Noor.

Apabila kehendak peribadi seseorang individu seperti Hadi Awang melangkaui daripada kehendak Islam yang diajarkan dalam kitab suci al-Quran, maka perbuatan yang dilakukannya tidak akan konsisten dengan kehendak al-Quran serta kehendak Islam.

Maka berlakulah perkara-perkara yang kontradik dari ajaran Islam dan ajaran al-Quran itu sendiri.

Celaan, cacian, kutukkan serta fitnah akan sentiasa diamalkan apabila kepentingan peribadi mendahului daripada ajaran agama Islam, kerana Islam melarang umatnya melakukan perkara yang dinyatakan itu.

Tetapi kerana dek kehendak peribadi yang ingin berkuasa dan ingin menang dalam perebutan politik kuasa, maka ajaran Islam yang melarang akan perbuatan tersebut pun mereka tidak endahkan.

Malahan mereka sanggup bersengkongkol dengan sosok-sosok yang pernah mengamalkan politik pecah perintah bawaan penjajah.

Kehendak Islam adalah untuk menyatukan umat manusia atas dasar mahabbah kasih sesama insan.

Tetapi kerana cita-cita peribadi mendahului kehendak Islam, maka mereka sanggup melontarkan kata-kata yang mengguris hati sesama Islam serta mengamalkan budaya politik takfiri yang dilarang oleh agama.

Malahan mereka menggunakan kata-kata yang buruk dan tidak elok kepada bukan Islam dan ini amat berbeza dengan ajaran para nabi.


QUTUBUDDIN BUZURGOON HASSAN ialah pensyarah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA)  di Pantai Timur.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.