Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pertimbang e-voting jika ingin kembalikan pilihan raya PBT

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

SURAT | Sekiranya kita ingin mewujudkan kembali Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT ini dalam negara kita, kita boleh memberi pertimbangan untuk menguna pakai proses mengundi secara elektronik (e-voting) atau secara dalam talian untuk melaksanakannya.

Terdapat cadangan daripada sesetengah pihak supaya negara kita melaksanakan semula proses pilihan raya PBT ini dalam negara kita. Pilihan raya PBT ini pernah diadakan dalam negara kita bagi memilih ahli jawatankuasa di peringkat daerah sebelum 1964.

Ia kemudian dihentikan apabila negara kita sedang menghadapi konfrontasi dengan Indonesia. Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] kemudiannya telah menamatkan riwayat pilihan raya PBT ini dalam negara kita.

Kini, negara kita hanya memiliki proses pilihan raya peringkat Persekutuan dan Negeri. Kerajaan tempatan adalah kerajaan paling rendah dalam sistem kerajaan di Malaysia. Jawatan penting seperti Datuk Bandar, Yang diPertua Majlis dan Ahli Majlis berkuasa terhadap sesetengah jenis cukai dan menggubal undang–undang kecil.

Dengan adanya proses pilihan raya PBT ini, proses demokrasi dijangka dapat dipelihara dengan lebih baik kerana rakyat dapat memantau proses pentadbiran peringkat kerajaan tempatan. Masalah rasuah dan salah guna kuasa juga dijangka dapat dibendung dengan lebih berkesan walaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya sekiranya pilihan raya PBT ini diadakan semula dalam negara kita.

Oleh itu, tidak menjadi satu masalah sekiranya kita ingin melaksanakan semula pilihan raya PBT ini dalam negara kita.

Namun sebelum itu, kita perlu melaksanakan proses pembaharuan di dalam sistem pilihan raya negara kita yang sudah ketinggalan zaman ini. Kita perlu memudahkan urusan pengundi untuk mengundi iaitu dengan memperkenalkan proses mengundi secara elektronik (e-voting) atau secara dalam talian.

Perlu diingatkan salah satu sebab kenapa pilihan raya PBT ini dimansuhkan dulu kerana kita tidak mahu membebankan orang ramai khususnya para pengundi untuk banyak kali keluar mengundi. Negara kita sudah memiliki banyak proses pengundian seperti Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN), pilihan raya kecil dan lain–lain lagi.

Sampai mana kita hendak membebankan para pengundi untuk keluar mengundi secara semuka? Kemunculan pelbagai jenis kemudahan teknologi sepatutnya digunakan sepenuhnya bagi memudahkan urusan harian kita dan ini termasuklah urusan mengundi.

Kesimpulannya, kita tidak boleh lagi bergantung harap sepenuhnya pada proses mengundi secara semuka ini buat selama – lamanya yang memakan masa serta mengunakan tenaga dan perbelanjaan wang yang banyak.

Zaman sudah berubah, oleh itu, sudah sampai masanya negara kita mengambil satu langkah yang proaktif dan inovatif dengan melakukan pembaharuan di dalam sistem pilihan raya dalam negara kita dengan melaksanakan proses mengundi secara elektronik (e-voting) atau secara dalam talian.

Proses pengundian secara elektronik ini dilihat mudah dan dapat meningkatkan lagi penglibatan lebih ramai pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi mereka ketika hadapi proses pilihan raya. Dengan kewujudan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini, tidak menjadi satu masalah besar untuk negara kita melaksanakan proses mengundi secara elektronik.

Proses pengundian secara elektronik bukan satu proses yang jarang didengari oleh kita semua. Antara negara – negara yang telah mengambil usaha untuk melaksanakan proses undian secara elektronik ini adalah seperti Australia, Belgium, Brazil, Estonia, Perancis, Jerman, India, Itali, Namibia, Belanda, Norway, Peru, Switzerland, UK, Venezuela, Pakistan and the Filipina.

Walaupun terdapat banyak perbahasan mengenai tahap keberkesanan proses undian secara elektronik ini, namun proses undian secara elektronik ini boleh membawa banyak faedah dan manfaat pada kita semua. Untuk pihak pentadbir atau pengurus pilihan raya, proses mengundi secara elektronik ini dapat memudahkan urusan mereka menjalankan proses pilihan raya.

Proses mengundi secara elektronik ini juga boleh mengurangkan jumlah kesilapan atau kerosakan yang berlaku pada undi yang dilakukan oleh pihak pengundi. Ia juga dapat meningkatkan jumlah penglibatan pengundian kerana proses undian secara elektronik ini boleh dilakukan di mana–mana lokasi yang menjadi pilihan pihak pengundi.

Proses mengundi secara elektronik ini juga boleh membantu golongan tertentu seperti golongan orang kurang upaya (OKU), individu yang sedang hadapi masalah kesihatan serta mereka yang hadapi halangan tertentu seperti masalah banjir kilat untuk menunaikan tanggungjawab pengundian mereka dengan lebih mudah, selesa dan selamat.

Proses mengundi secara elektronik ini juga dapat menjimatkan bajet yang diperuntukan untuk melaksanakan proses pilihan raya. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu lagi belanja duit dengan banyak untuk mencetak kertas undi, membeli dakwat untuk pengesahan undian, dan segala kelengkapan lain lagi.

Bajet yang berjaya dikurangkan boleh digunakan untuk perkara-perkara yang lebih penting. Masa dan tenaga pengundi juga dapat dijimatkan sekiranya kita membenarkan pengundi untuk melakukan proses mengundi secara elektronik. Melalui proses mengundi secara elektronik ini juga, keputusan pilihan raya dapat diketahui dengan lebih cepat dan tepat lagi.

Proses pemeriksaan semula undi juga dapat dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan sekira berlaku sebarang keraguan terhadap jumlah undi yang telah dikira.

Sekiranya kita tidak boleh melaksanakan sepenuhnya proses mengundi secara elektronik ini, kita sekurang–kurangnya boleh melaksanakan proses mengundi secara hybrid dimana para pengundi diberi pilihan sama ada untuk mengundi secara semuka dengan menanda kertas undi ataupun mengundi secara elektronik.

Dan sekiranya kita tidak dapat laksanakan proses mengundi secara elektronik ini secara penuh atau hybrid untuk semua jenis pilihan raya yang ada dalam negara kita, sekurang–kurangnya kita boleh melaksanakan ia di peringkat pilihan raya PBT. Pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh melakukan kajian mendalam terhadap cadangan ini.

Pelbagai jenis undang–undang yang berkaitan dengan proses pilihan raya termasuk Perlembagaan Persekutuan yang perlu dikaji dan dipinda sekiranya kita ingin melaksanakan cadangan ini.


MUZAFFAR SYAH MALLOW merupakan Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.