Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Melawan gelombang Khawarij dalam kerangka perlembagaan dan Malaysia Madani

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Gelombang pemikiran Khawarij takfiri yang secara agresifnya menyerang pemikiran masyarakat yang dibawa oleh kelompok pelampau Melayu-Islam akhir-akhir ini sangat membimbangkan.

Keupayaan golongan ini memanipulasi isu-isu kaum dan juga agama melalui penyelewengan nas Quran dan hadis bagi membangkitkan kebencian, fitnah dan juga penipuan sememangnya berkesan mempengaruhi minda masyarakat terutama orang Melayu.

Tidak dinafikan naratif Melayu dan Islam antara naratif penting dalam landskap politik negara, namun begitu seringkali naratif ini ditunggang oleh ahli politik untuk kepentingan peribadi dan sesetengah kelompok sahaja sehingga objektif tersasar jauh daripada apa yang didambakan oleh masyarakat.

Justeru dalam menggempur gelombang takfiri dan Khawarij, perlu ada  pengolahan baru kepada naratif Melayu-Islam bagi mematikan manipulasi dan penunggangan naratif ini daripada golongan pelampau ini.

Jika kita melihat kepada perlembagaan persekutuan, Perkara 3, agama rasmi persekutuan ialah agama Islam. Perkara 152 bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perkara 153 berkenaan hak istimewa orang Melayu.

Ini sebenarnya sudah cukup sebagai kerangka untuk melawan sentimen melampau golongan pelampau agama dan bangsa 

Melihat kepada usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui Malaysia Madani, jelas menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dilakukan adalah berdasarkan kerangka perkara perlembagaan yang disebut sebelum ini.

Bahkan konsep Malaysia Madani ini mengukuhkan lagi tiga perkara yang disebut dalam perlembagaan persekutuan.

Justeru itu,untuk melawan gelombang Khawarij dan takfiri, semua pihak mesti berpegang dengan kerangka perlembagaan dan mengoperasikan konsep Malaysia Madani secara optimum bagi mematikan gelombang ini.

Jika naratif Malaysia Madani berjaya ditonjolkan sebagai pengolahan baru kepada pemerkasaan tiga perkara dalam perlembagaan persekutuan ini, nescaya gelombang Khawarij dan takfiri akan dapat dikekang dan dihapuskan.


AHMAD NADHIR YOB ialah ketua komunikasi dan penerangan PKR Kemaman.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.