Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Perihal surah al-Kahfi

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Surah ke-18 mengandungi 110 ayat dan diturunkan di Mekah selepas surah ke 88 al-Ghasiah dan sebelum surah ke-16, an-Nahli.

Surah ini dinamakan Al Kahfi yang bererti "Gua besar dan luas" sehingga boleh didiami orang. 

Nama ini diambil dari cerita yang terdapat dalam surah ini, pada ayat sembilan hingga 26, tentang beberapa orang pemuda beriman yang tidur di dalam gua beratus tahun lamanya. 

Kisah pemuda-pemuda yang mempunyai keimanan tauhid yang tinggi serta sanggup tinggalkan kesenangan hidup di kota.

Mereka lari ke dalam gua atas dasar iman serta prinsip tidak mahu bersengkongkol dengan pemerintah zalim yang memaksa rakyatnya menyekutukan Allah.

Selain daripada cerita tersebut, terdapat juga beberapa buah cerita lain yang terdapat dalam surah ini, yang kesemuanya mengandungi iktibar dan pelajaran yang sangat berguna bagi kehidupan manusia.

Ada tiga cerita lain dalam surah ini, iaitu pertama (dari ayat 32 hingga ayat 43) tentang dua orang yang mempunyai kebun, sebagai perumpamaan seorang mukmin dan seorang lagi pemilik kebun yang ingkar, lupa akan nikmat Allah.

Cerita kedua ialah tentang Nabi Musa AS dengan Nabi Khidir AS sebagai membuktikan bahawa Allah jualah yang berkuasa mengurniakan ilmu pengetahuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Dan supaya tidak berlaku bongkak atau besar diri di atas ilmu yang dimiliki dan merasa diri sendiri lebih berilmu dalam segenap segi atau semua bidang ilmu.

Walhal dalam dunia ini tidak mungkin seseorang itu menguasai dan mahir dalam semua bidang ilmu.

Kisah ini juga menunjukkan bagaimana Allah menegur Nabi Musa secara hikmah supaya sentiasa rendah diri dan bersabar. 

Dalam ayat 60 dalam surah al-Kahfi , Allah menceritakan kisah Nabi Musa dengan dengan Nabi Khidir.

Dan menurut hadis Riwayat Iman Bukhari, ketika Nabi Musa berucap kepada kaumnya, ada seorang bertanya:

"Adakah sesiapa di dunia ini yang lebih ilmunya daripada Tuan? Jawab Nabi Musa AS: ‘Tidak ada’;  lalu ditegur oleh Allah kerana dia tidak mengembalikan soal segala ilmu kepada Allah yakni pemilik segala ilmu yang ada dalam dunia ini.

“Allah SWT terangkan; Ada seorang hamba ku yang lebih ilmunya daripadamu. Orang itu dapat ditemui di tepi pantai berhampiran dengan tempat pertemuan dua laut. 

“Kemudian Allah perintahkan Nabi Musa membawa bekalan ikan dalam sebuah bakul dan ketika ikan itu hidup semula dan masuk ke laut, maka di situlah tempat pertemuan itu yang mana Nabi Musa AS akan bertemu dengan Nabi Khidir AS untuk mendalami ilmu.”

Cerita yang ketiga ialah tentang Zulqarnain iaitu seorang raja yang beriman lagi soleh, bijaksana dan memerintah dengan adil. 

Untuk menghalang pencerobohan kaum Yakjuj dan Makjuj yang kejam dan ganas, dia mendirikan tembok (dinding) besi yang kukuh.

Teknologi dan ilmu dalam ketamadunan sudah dipraktikkan oleh raja yang beriman ini bertujuan untuk melahirkan kehidupan yang aman demi kepentingan rakyat teramai yang berada bawah naungannya.

Seperti surah-surah yang lain yang diturunkan di Mekah, Surah Al Kahfi ini bermaksud memperdalamkan "akidah tauhid keesaan Allah " dalam setiap hati sanubari umat manusia terutamanya umat Islam.

Ia bagi memperteguhkan lagi keyakinan dan kepercayaan kepada Allah yang tunggal dan mempercayai juga wujudnya hari kiamat yang berlakunya pembalasan serta segala hitung kira terhadap perilaku manusia selama hidup.

Surah ini diakhiri dengan menerangkan tentang keluasan ilmu Allah Taala yang tidak terhingga dan kesempurnaannya.

Allah perintahkan Nabi Muhammad SAW supaya menegaskan kepada seluruh umat manusia bahawa baginda adalah seorang manusia yang biasa seperti orang lain juga.

Cuma Nabi Muhammad diberikan wahyu oleh Allah dan diberikan bimbingan oleh malaikat Jibril serta diutuskan untuk menegakkan dasar tauhid dan menghapuskan akidah dan amalan syirik di kalangan manusia.

Adapun cerita Yakjuj dan Makjuj dalam al-Quran sebenarnya adalah untuk memberi amaran atau isyarat daripada Allah mengenai perkembangan masa depan dari sudut kebendaan serta ketamadunan.

Dan amaran bahawa kezaliman sesuatu kerajaan atau kaum yang berkuasa besar, akan menjajah dan menindas rakyat di negara-negara lain.


QUTUBUDDIN BUZURGOON HASSAN berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi awam di Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.