Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Sambut 2024 dengan solidariti buat Palestin

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

SURAT | Pemuda Amanah menyeru seluruh rakyat Malaysia - tanpa mengira bangsa, agama, dan fahaman politik - untuk terus menyokong program-program solidariti membela nasib rakyat Palestin.

Pemuda Amanah menyambut baik tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengeluarkan arahan agar syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera negara itu atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana, dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Afrika Selatan juga baru-baru ini memfailkan kes pendakwaan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas jenayah genosid ke atas rakyat Palestin.

Menjadi suatu kemestian untuk reaksi drastik ini bagi membantah sekeras-kerasnya tindakan Tel Aviv yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Kecaman terhadap keganasan Israel semakin mendapat sambutan melalui perkhabaran berita terkini tentang pakatan ketenteraan di Laut Merah iaitu Operasi Penjaga Kemakmuran (Operation Prosperity Guardian atau OPG) yang dikelolakan oleh AS tidak mendapat sambutan daripada China, Perancis, Sepanyol dan Itali.

Jalan perkapalan menuju ke Israel di Laut Merah dihalang oleh ancaman dan tekanan bertubi-tubi oleh tentera Houthi Ansarullah dari Yaman sebagai tanda protes kepada keganasan Israel.

Tetapi, apa yang menyedihkan adalah hipokrasi para pemimpin negara Arab yang terlihat melalui projek koridor darat rentetan Abraham Accords untuk menyelamatkan penghantaran kargo antara negara-negara Teluk dan Israel melalui Arab Saudi, Jordan dan Mesir telah diteruskan dan meningkat berkali ganda.

Dunia menyaksikan hari demi hari sokongan terhadap pembebasan rakyat Palestin daripada keganasan Israel semakin memuncak.

Pemuda Amanah yakin kemenangan rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka semakin hampir, melalui semangat yang diterjemahkan oleh perarakan dan himpunan pro-Palestin di seluruh dunia.

Tekanan demi tekanan oleh warga dunia pencinta keamanan dan keadilan sejagat sama ada di London, Berlin, Paris dan Washington, mahupun negara-negara Amerika Selatan dan Afrika, membuktikan Israel dan AS makin terpencil dan bersendirian dalam kemelut ini.

Semoga lipatan sejarah menyaksikan kita sebagai rakyat Malaysia yang rahmah tidak tergolong dalam kalangan mereka yang berdiam diri di kala saudara sesama manusia kita di Palestin ditindas sekejam-kejamnya.


FARIS ARRIFFIN ialah Naib Ketua Pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.