Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kegagalan Muda jadi pencetus reformasi

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

SURAT | Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) merupakan sebuah parti politik yang memberi fokus kepada golongan belia dan sering mendesak agar kerajaan melakukan reformasi.

Susulan pengumuman kabinet baru oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, parti itu sekali lagi menggesa agar kerajaan melaksanakan tindakan segera terhadap masalah-masalah berkaitan dengan agenda reformasi yang tertunda.

Ini termasuk pelaksanaan undang-undang berkaitan pemisahan kuasa, pindaaan kewarganegaraan dan reformasi lain yang penting.

Namun, jika disingkap semula, Muda juga pernah berjanji untuk melaksanakan reformasinya sejak mula ditubuhkan pada 2020.

Reformasi yang dicanangkan itu bagaimanapun masih tidak memenuhi kehendak rakyat sehingga kini.

Kegagalan Muda untuk membangkitkan elemen reformasi mereka kepada rakyat disumbang oleh beberapa faktor penting.

Muda belum mencapai status sebagai sebuah parti politik yang berpengaruh setakat ini.

Sebagai sebuah parti yang baru sahaja bertapak dalam arena politik tanah air serta memiliki sumber yang terhad, Muda menghadapi cabaran untuk menyaingi blok politik utama.

Muda sebelum ini hanya memiliki seorang anggota Parlimen dalam barisan kempimpinan, iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Namun situasi itu berubah secara total selepas dia melepaskan jawatannya sebagai presiden pada November lalu.

Syed Saddiq sebagai perwakilan Muda secara solo selama ini, meletakkan Muda dalam keadaan yang sulit untuk melakukan advokasi perubahan radikal terhadap sistem pentadbiran negara.

Ketiadaan Syed Saddiq selepas ini dalam barisan kepimpinan Muda, kian membatasi peluang Muda untuk melaksanakan reformasi kepada pentadbiran Malaysia.

Keputusan Muda untuk menjadi blok ketiga di Parlimen telah menimbulkan persoalan tentang kemampuan Muda dalam mempengaruhi usul-usul dasar negara.

Muda selama ini bergantung kepada parti-parti utama lain seperti pernah dilakukan ketika Pilihan Raya Negeri Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada tahun lalu.

Namun, rekod menunjukkan Muda tidak mampu untuk memberi sokongan jitu kepada pakatan parti yang disertainya.

Sebaliknya, Muda banyak diberi bantuan oleh parti-parti utama lain seperti DAP dan Amanah untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Kebergantungan berkenaan secara realitinya tidak mampu menafikan bahawa Muda belum membuktikan apa-apa sehingga kini.

Meskipun Muda berjaya menarik perhatian golongan muda, timbul persoalan tentang sejauh mana mereka dapat mengubah minat belia untuk terus menyokong parti itu.

Pengaruh Muda pada isu-isu berkaitan golongan muda masih belum jelas.

Dalam konteks ini, perjuangan Muda untuk dasar yang berpihak kepada belia tampaknya masih dalam proses yang samar-samar.

Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh Muda adalah keperluan untuk menyediakan platform yang bukan sahaja menarik minat belia, tetapi juga menggalakkan mereka menjadi lebih aktif secara politik.

Ini termasuk mengusahakan dasar-dasar yang lebih inklusif dan progresif yang dapat menangani masalah seperti pendidikan, pekerjaan, perumahan serta isu-isu sosial.

Belia pada hari ini bukanlah monolit kerana mereka mempunyai pelbagai latar belakang, kepentingan dan pandangan.

Tuntasnya, walaupun Muda kerap mendesak reformasi atau perubahan dalam politik Malaysia, parti itu menghadapi cabaran signifikan dalam melaksanakan agendanya sendiri.

Situasi ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan dan peranan mereka dalam politik tanah air serta kemampuan mereka dalam mendorong perubahan yang signifikan dalam kalangan masyarakat dan negara.

Sebagai parti yang dianggotai oleh golongan muda dengan idea-idea segar, Muda sepatutnya menjadi nadi kepada reformasi politik negara.

Namun, Muda gagal menerapkan strategi yang efektif untuk memastikan bahawa suara mereka didengar pada pentas nasional.

Sejak awal penubuhannya, Muda cuba untuk melawan arus politik tradisional, tetapi strategi itu belum membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Hingga kini, parti tersebut masih bergelut untuk melaksanakan agenda reformasinya atau menjalankan peranannya sebagai 'pencetus reformasi' dengan berkesan.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.