SURAT | Kawal trend ubah apartmen jadi unit Airbnb
SURAT | Peningkatan pembinaan projek apartmen dan unit studio di Kuala Lumpur serta bandar-bandar utama adalah trend yang perlu dikawal oleh pihak berkuasa.
Hal itu kerana pemaju dan ejen hartanah giat mempromosikan projek-projek tersebut kepada pelabur untuk dijadikan unit Airbnb atau disewakan.
Untuk menggalakkan pembelian, pemaju membantu dengan memberikan rebat dan pulangan tunai (cashback), menjadikanpembeli tidak perlu mengeluarkan wang untuk deposit 10 peratus.
Persoalannya, adakah ini cara pintu belakang untuk tidak terikat dengan arahan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai deposit 10 peratus dan kadar pinjaman 90 peratus?
Ramai pelabur hartanah menggunakan kelebihan ini untuk membeli unit studio dan apartmen tanpa modal, sebelum ia disewakan kepada Airbnb misalnya.
Namun, kaedah pemaju terbabit membimbangkan kerana boleh menyebabkan harga rumah melambung tinggi. Sebahagian besar unit-unit itu bersaiz kira-kira 400 kaki persegi sahaja.
Walaupun saiz rumah semakin mengecil, harga pula semakin meningkat.
Secara tidak langsung keadaan itu menyebabkan rakyat Malaysia - terutamanya pembeli tulen - terpaksa memohon pinjaman bank yang lebih tinggi.
Kalau trend ini berterusan, saya bimbang generasi muda terpaksa membeli rumah dengan menanggung beban hutang yang sangat membebankan. Generasi akan datang pula dibimbangi terpaksa tinggal jauh dari bandar dan tidak ada pilihan kecuali berulang-alik berpuluh kilometer sehari untuk ke tempat kerja.
Laporan Universiti Putra Malaysia baru-baru ini menyebutkan, golongan muda tidak gemar membeli rumah kerana lokasi kediaman yang mampu dibeli berada jauh dari tempat kerja.
Banyak projek apartmen berkepadatan tinggi (high-density) mirip Hong Kong telah diluluskan dan dibina dalam tempoh lima hingga lapan tahun lalu.
Kebanyakan unit daripada projek-projek sebegitu sudah mula memasuki pasaran lelong, dan lebih membimbangkan, tidak dibeli walaupun sudah dilelong beberapa kali.
BNM perlu mengkaji keberkesanan trend pemaju memberikan rebat dan pulangan tunai kepada pembeli, khususnya pelabur. Sebaliknya, rebat dan pulangan tunai hanya wajar diberikan kepada pembeli kali pertama dan mestilah warganegara Malaysia.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa perlu membuat ketetapan tegas bagi mengawal trend menjadikan unit-unit apartmen dan studio di Kuala Lumpur sebagai unit Airbnb atau penginapan sewa jangka pendek (STRA).
Pada pandangan saya, trend ini juga kurang merangsang pertumbuhan ekonomi negara kerana pengusaha hotel akan terkesan akibat persaingan yang tidak adil.
Malah, jika tidak dikawal ia boleh memudaratkan generasi muda dan akan datang. Sudahlah mereka bergaji rendah, harga rumah pula di luar kemampuan.
FAIZ FADZIL ialah seorang peguam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai