Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Tambah baik pengangkutan awam untuk pelancong di Kelantan

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

ABIM Kelantan mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan atas pelaksanaan Tahun Melawat Kelantan 2024.

Negeri yang kita cintai ini sememangnya penuh dengan lokasi pelancongan yang menarik dan berpotensi untuk memikat pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Namun ada beberapa perkara yang perlu diberikan fokus segera oleh pihak kerajaan negeri Kelantan bagi menjamin peningkatan kemasukan pelancong ke dalam negeri kita, iaitu penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam sama ada dalam bentuk penambahan jumlah pusingan bas rentas daerah mahu pun masa operasi serta akses bas ke lokasi pelancongan yang lebih pelbagai.

Perkara tersebut adalah mustahak dan wajar diperhalusi, kerana budaya melancong secara “backpacker” sudah menjadi gaya hidup generasi muda seluruh dunia.

Kelompok pelancong sebegini mungkin kurang kekuatan kewangan atau kuasa beli yang sederhana, namun kekuatan pelancong “backpacker” ialah mempromosikan pengalaman mereka di media sosial.

Golongan ini akan menggunakan perkhidmatan “e-hailing” dan teksi sebagai pilihan terakhir kerana cas perkhidmatan yang tinggi dan mereka akan cuba menggunakan bas rentas daerah memandangkan tambangnya yang lebih rendah.

Selain untuk menyantuni golongan pelancong “backpacker”, perkhidmatan bas yang lebih kerap juga penting khususnya beberapa kawasan yang kami kenal pasti amat diperlukan seperti di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, tiga pintu sempadan yang menghubungkan Kelantan dengan Thailand, stesen bas utama di setiap daerah dengan beberapa lokasi utama negeri dan sebagainya.

Setakat pemerhatian kami, jumlah bas yang berlegar di kawasan yang dimaksudkan adalah sangat sedikit berbanding jumlah orang awam yang berpotensi menggunakan perkhidmatan pengangkutan.

Contohnya di sempadan Rantau Panjang yang mana terdapat masyarakat daripada tiga wilayah Selatan Thailand yang berminat untuk melancong ke Kota Bharu, namun perkhidmatan bas yang disediakan amatlah sedikit. Bahkan hentian bas rentas daerah Rantau Panjang juga sudah menjadi lokasi parkir awam.

Beberapa kawasan tarikan pelancong seperti pantai-pantai yang indah di Bachok dan Pasir Puteh, air terjun di Kuala Krai Machang dan Jeli, kawasan industri desa seperti Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah serta kawasan yang penuh dengan khazanah alam seperti Gua Musang dan Lojing juga mesyaksikan jumlah bas yang sangat sedikit.

Dengan aktiviti waktu malam di Kota Bharu dan daerah lain, amatlah digalakkan sekiranya kerajaan negeri memberikan inisiatif agar perkhidmatan bas di negeri ini dilanjutkan tempoh perkhidmatannya sehingga waktu malam dan juga selamat.

Selain itu kerajaan negeri juga disarankan agar mewujudkan integrasi perkhidmatan bas dengan perkhidmatan pemetaan digital seperti Google Maps agar memudahkan pelancong merujuk laluan bas yang perlu mereka ambil. Bahkan sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri Kelantan melaksanakan projek bas eletrik yang mana pernah dijanjikan untuk dilaksanakan pada 2018.

Sekiranya ada halangan atau kesukaran dalam pelaksanaan perkhidmatan bas yang efisien untuk memenuhi keperluan pengguna sempena Tahun Melawan Kelantan 2024, kerajaan negeri boleh mewujudkan usaha sama dengan Kementerian Pengangkutan dalam memastikan perkhidmatan bas di negeri ini mencukupi.

Ini dengan mengusulkan peruntukan perkhidmatan bas khusus demi perkara tersebut, kerana selain manfaat untuk Kelantan, ia juga merupakan manfaat untuk Malaysia dalam mempromosikan pelancongan di negeri Kelantan ke mata dunia.

Semoga dengan usul ini, negeri Kelantan akan memenuhi keperluan pelancong dan membawa keuntungan berbentuk ekonomi kepada rakyat di negeri yang kita cintai ini.


MOHD SYAHIRAN MUHAMMAD ialah Yang DiPertua ABIM Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini