Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Menulis sejarah bola sepak negara

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

SURAT | Kempen Piala Asia edisi 2024 telah berakhir buat Harimau Malaya. Akan tetapi perhatian terhadap skuad bola sepak kebangsaan masih tidak berhenti.

Sehingga kini kejayaan Malaysia mengikat Korea Selatan 3-3 masih rancak diperkatakan. Antaranya ialah jaringan menarik merobek gawang lawan yang dilakukan Faisal Halim.

Perhatian tidak hanya tertumpu kepada jaringannya tersebut bahkan turut disorot ialah latar belakang Faisal sebagai pemain muda.

Bakatnya mula dicungkil semenjak di bangku sekolah lagi, misalnya melalui rancangan realiti TV, Mencari Ramli.

Faisal ialah antara pemain muda yang mendapat peluang mengikuti latihan yang dikendalikan kelab gergasi dunia, Manchester United.

Ketika mewakili Pulau Pinang untuk pertandingan Piala Belia pada 2015, dia turut mencipta jaringan cantik dan sehingga kini rakaman aksi tersebut terus ditonton berulang kali.

Sejarah jugalah yang terus menghidupkan nyala rasa orang ramai terhadap bola sepak di negara ini.

Malaysia sebenarnya berpeluang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Asia pada 1980. Ia adalah tahun yang sama pasukan kebangsaan sepatutnya beraksi di temasya Olimpik 1980 di Moscow.

Selalu bermain dalam ingatan

Pada pertandingan di Kuwait itu, skuad negara yang sebelum itu kalah kepada pasukan tuan rumah kemudian bangkit menewaskan Emeriah Arab Bersatu 2-0, sebelum mengikat pasukan Qatar dengan keputusan 1-1.

Apa yang menarik, Malaysia juga berjaya mengikat Korea Selatan dengan keputusan 1-1.

Di YouTube ada tersimpan rakaman jaringan cantik hasil tandukan terbang Zulkifli Hamzah dalam perlawanan tersebut. Sepanjang Piala Asia 1980 secara keseluruhan dia menjaringkan dua gol.

Begitu juga dengan jaringan-jaringan dilakukan Allahyarham Tukiman Bahari (2 gol) serta salah seorang pemain legenda Pahang, Abdah Aliff.

Nama-nama mereka mewangi di bibir peminat sebaris dengan wira negara yang lain termasuk yang sudah meninggal dunia seperti Mokhtar Dahari, Ghani Minhat, Mohamad Bakar, Isa Bakar, Saharuddin Abdullah, mendiang R Arumugam, serta Santokh Singh, Soh Chin Aun, Hassan Sani dan James Wong.

Berikut antara pencapaian pasukan kebangsaan yang sering bermain dalam ingatan para peminat bola sepak negara:

  • Layak ke Sukan Olimpik dua kali (1972 di Munich, Jerman, dan 1980 di Moscow)

  • Dua pingat gangsa Sukan Asia (1962, 1974)

  • Juara Piala AFF 2010

  • Enam kali pingat emas Sukan SEA.

Pembabitan Malaysia dalam Piala Asia kali ini adalah yang keempat sejak penampilan terakhir sebagai tuan rumah bersama pada 2007.

Menang atau kalah merupakan sebahagian mata rantai perjuangan skuad kebangsaan sejak sekian lama. Apa pun keputusan yang dicapai ia tidak akan mematikan perhatian terhadap bola sepak tanah air.

Setiap pencapaian mempunyai kisahnya yang tersendiri. Ia perlu diabadikan kerana ia dicipta dalam era serta persekitaran tertentu.

Jaringan Shaharuddin Abdullah ketika menentang AS pada 1972 masih merupakan salah satu gol bersejarah pembabitan Malaysia dalam Sukan Olimpik Munich.

Allahyarham Mokhtar Dahari (kiri) dan Soh Chin Aun

Generasi pada masa depan perlu juga diingatkan setiap pencapaian atau kejayaan yang diraih merupakan hasil daripada usaha keras para pemain negara untuk mengatasi cabaran yang dihadapi.

Contohnya, generasi pada masa akan datang perlu diingatkan betapa mahalnya detik pasukan kebangsaan menjulang Piala AFF di Gelora Bung Karno pada 2010 lalu.

Kisah pasukan kebangsaan terpaksa menaiki kereta perisai untuk ke stadium itu kerana berhadapan dengan pelbagai tekanan serta provokasi penyokong pasukan tuan rumah juga tidak wajar dilupakan.

Usaha ini perlu diberi perhatian agar ia dapat dilakukan secara serius melalui pelbagai wadah termasuk penulisan serta video agar generasi baru memahami sejarah serta latar belakang sesebuah kelab atau pasukan.

Zahirkan rasa cinta

Kisah Harimau Malaya serta para pemainnya seperti Faisal adalah sejarah yang perlu dikenang pada masa datang, sama seperti pencapaian dirintis generasi terdahulu dalam Sukan Olimpik, Piala Asia, Sukan Asia, Piala AFF serta Sukan SEA.

Kita perlu jujur untuk mengakui bahawa banyak lagi pencapaian yang perlu digapai untuk skuad negara sebelum Harimau Malaya boleh menempatkan diri dalam kalangan kuasa besar bola sepak Asia.

Namun minat terhadap sukan ini tidak boleh padam. Padang-padang bola sepak akan tetap meriah dengan kanak-kanak serta remaja yang sedang menjejak langkah yang dirintis pemain ketika ini serta masa silam.

Pelbagai pihak juga tidak jemu-jemu untuk membudayakan bola sepak di akar umbi.

Bakat-bakat yang dicungkil oleh orang perseorangan, sekolah, serta kelab perlu dipandu untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi, malah sehingga ke pentas antarabangsa.

Faisal Halim

Ini adalah asas penting yang sudah berjalan semenjak bola sepak bertapak di negara ini. Menang atau kalah tidak patut memadamkan minat generasi muda untuk menyarung jersi kebanggaan suatu hari nanti.

Hal itu kerana mereka ingin menzahirkan rasa cinta terhadap tanah air, kerana mereka mahu melihat Jalur Gemilang berkibar megah di persada dunia.

Kita tidak boleh berpuas hati dengan sejarah yang tercipta pada masa lalu dan kini, kerana kita perlu mencipta sejarah baru untuk masa akan datang.


FIRDAUS HAMSIN ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.