Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Contohi disiplin pemimpin tertinggi parti

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

SURAT | Pada awal Julai 2013, hHarapan rakyat Mesir dihancurkan oleh peristiwa rampasan kuasa dengan tumbangnya kerajaan Dr Mohamed Morsi.

Dia dijatuhkan oleh pelbagai pihak yang berpakat untuk menggantikannya dengan kerajaan baru.

Harapan pembaharuan Mesir juga tidak kesampaian kerana kerajaan Morsi gagal memperbaiki ekonomi negara seperti yang dibayangkan.

Kerajaan tersebut gagal berfungsi dengan baik akibat kegagalan 11 parti politik yang membentuk Perikatan Demokratik Mesir bertelagah sesama sendiri.

Kemelut itu berpanjangan sehinggakan semua pihak mengabaikan kehendak rakyat, termasuklah mengawal harga makanan (roti).

Wujud tanggapan bahawa Morsi tidak mewakili kehendak rakyat, sebaliknya hanya mewakili kelompok sendiri sahaja.

Naratif tersebut telah menjadi asas kepada pihak lawan untuk kempen sekali gus memesongkan sokongan rakyat daripada bekas ahli akademik terbabit.

Teladan penting perlu kita ambil daripada kegagalan kerajaan demokratik Mesir. Ketika ini kerajaan Madani telah dibentuk di Malaysia hasil gabungan 19 parti politik.

Bukan nak perkecil sesiapa

Setiap parti mempunyai ideologi dan prinsip masing-masing dengan sesetengahnya membawa perbezaan.

Pun begitu ia dapat disatukan melalui naungan Yang di-Pertuan Agong dan cita-cita untuk memulihkan Malaysia supaya kembali menjadi kuasa besar ekonomi Asia berasaskan tatakelola yang baik.

Namun cita-cita tersebut sedikit tergugat apabila keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan terhadap Najib Razak mula menjadi polemik.

Apabila muncul keresahan dalam kalangan pemimpin parti politik tertentu, Pengarah Komunikasi Pemuda PKR (AMK), Haziq Azfar, mengeluarkan teguran ikhlas supaya semua pimpinan kerajaan kembali fokus terhadap usaha mengukuhkan sokongan anak muda Melayu.

Tidak dilupkan juga ialah nasihat agar segala persengketaan antara satu sama lain dikendurkan.

Kepimpinan AMK telah berhubung dengan Haziq berkenaan kenyataan tersebut.

Maklum balas yang diberikannya menunjukkan dia memang jujur dan tidak bertujuan untuk memperkecilkan mana-mana pihak.

Seluruh kepimpinan AMK menghormati mana-mana pihak untuk memperjuangkan nasib Najib atas landasan undang-undang.

Teguran tersebut dikeluarkan hanya untuk mengingatkan rakan dalam kerajaan agar tidak memperbesarkan keputusan lembaga pengampunan.

Justeru sekali lagi pesanan untuk semua pihak - termasuk pemimpin AMK - dilaungkan agar kita mencontohi sikap dan disiplin pemimpin tertinggi parti komponen kerajaan Madani.

Sikap berlapang dada di antara Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi patut kita contohi bersama kerana mampu menyelesaikan masalah secara dalaman dan beradab.

AMK juga sekali lagi memohon agar semua sayap belia dalam parti komponen kerajaan untuk melupakan perselisihan yang berlaku.

Kegagalan kita untuk kembali fokus kepada kehendak dan harapan rakyat bakal menyebabkan nasib kerajaan Perikatan Demokratik Mesir menimpa kerajaan Madani.

Jika ada terkasar bahasa atau salah faham, AMK menyeru agar kita saling memaafkan. Buang keruh yang muncul di sepanjang perselisihan yang telah kita lalui.

Ambil yang jernih untuk mematangkan diri sebagai pewaris kepimpinan negara.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan AMK Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.