Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kes Nik Elin: Manfaatkan untuk perkasakan undang-undang syariah

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengambil berat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Satu Lagi lawan kerajaan negeri Kelantan pada Jumaat lalu.

Ikram menyeru semua pemegang taruh khususnya kerajaan, parlimen, badan perundangan negeri-negeri, Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim), majlis agama Islam negeri-negeri dan semua pihak yang mempunyai kepentingan termasuklah ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk meneliti penghakiman kes secara positif.

Penghakiman tersebut sebenarnya boleh menjadi pemangkin untuk semua pihak mengemas kini dan memperkasakan undang-undang syariah yang telah sedia ada dan yang akan digubal kelak agar selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Kes Nik Elin ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019 adalah batal dan tidak sah kerana inti pati (pith and substance) peruntukan-peruntukan tersebut adalah berkenaan undang-undang jenayah yang merupakan bidang kuasa parlimen dan bukannya badan perundangan negeri.

Oleh yang demikian, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa badan perundangan negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal 16 peruntukan tersebut kerana ia terletak bawah kuasa Parlimen.

Justeru, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut hanya menjelaskan sempadan had kuasa badan perundangan negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah dan bukannya kerana Mahkamah Persekutuan menentang undang-undang syariah.

Keputusan ini amat penting dalam membantu badan perundangan negeri-negeri mengemas kini dan menggubal undang-undang syariah kerana pentafsirannya sudah jelas.

Malah, ia juga akan membantu parlimen dalam melakukan apa-apa pindaan yang perlu kepada Perlembagaan Persekutuan bagi membantu memperkasakan lagi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang syariah di Malaysia.

Ikram memuji inisiatif awal kerajaan yang menjunjung titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam pada Disember 2023.

Dalam masa yang sama, Ikram yang dianggotai oleh ramai ahli yang berlatarbelakangkan pengajian dalam undang-undang dan syariah sedia menawarkan khidmat bagi merealisasikan usaha pemerkasaan undang-undang syariah selari dengan visi Malaysia negara rahmah.

Ikram juga memohon agar pihak-pihak tertentu berhenti mensensasikan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin ini sebagai satu ancaman kepada kedudukan Islam di Malaysia atau sejarah hitam kepada undang-undang syariah di Malaysia kerana dakwaan tersebut tidak ada kebenaran sama sekali.


BADLISHAH SHAM BAHARIN ialah presiden Pertubuhan Ikram Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.