Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Selangor rintis jalan tangani isu petempatan pekerja asing

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

SURAT | Laporan yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada 2023 menunjukkan, terdapat 2.7 juta orang pekerja asing yang berdaftar di Malaysia.

Menurut mantan menteri, V Sivakumar, jumlah tersebut masih memerlukan penambahan pekerja asing sebanyak 30,000 orang.

Jumlah yang dibentangkan itu tidak termasuk pekerja asing yang masuk secara haram dan tidak berdaftar.

Laporan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 2019 menunjukkan terdapat 588,327 orang pekerja asing berdaftar di negeri itu.

Ia menjadikan sebahagian besar pekerja asing (satu per liam) bekerja dan menetap di Selangor berbanding negeri lain di Malaysia.

Jumlah itu menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk tempatan. Keadaan diburukkan lagi apabila jumlah pekerja asing yang terlalu ramai menyebabkan ada sesetengah tempat digelar Bandar Colombia.

Kebanjiran warga asing itu menimbulkan beberapa masalah sosial seperti gengsterisme, kebersihan dan pelacuran.

Keadaan lebih membimbangkan apabila pekerja asing yang menetap dalam tempoh yang lama di Selangor telah berani membuka petempatan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Ia bukan satu rahsia lagi apabila DUN Selangor pada 2015 melaporkan bahawa ada perkampungan warga asing dibuka di empat pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Perkampungan itu ditutup dengan zink di sekelilingnya bagi mengelakkan sebarang aktiviti dikesan pihak berkuasa.

Laporan oleh Jabatan Imigresen Malaysia mendapati perkampungan tersebut dilengkapi dengan kemudahan elektrik, surau, warung makanan serta kedai runcit, manakala bekalan air diperoleh dari bukit dan perigi yang digali.

Keadaan ini sudah pasti menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk tempatan, malah kerajaan juga sukar memantau jika berlaku kegiatan jenayah dan salah laku di dalam kawasan tersebut memandangkan mereka mempunyai ketua dan undang-undang tersendiri.

Keadaan ini membuatkan sebarang kesalahan tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa, sebaliknya ia berkembang dengan kehadiran pekerja asing tanpa izin yang dilindungi oleh ahli keluarga mereka.

Kerajaan Madani di Selangor tampil dengan langkah penyelesaian yang bernas bagi menangani masalah tersebut melalui pembinaan kuarters pekerja berpusat (CLQ).

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diamanahkan untuk membangunkan CLQ pertama di Bandar Sultan Suleiman. Ia dibina atas tanah seluas 1.76 hektar (4.35 ekar) dan dinamakan sebagai Laman Lestari.

Projek tersebut dianggarkan siap dalam tempoh tiga tahun dengan tarikh penyerahan ditetapkan pada 2024, manakala sijil siap diperoleh dijangka pada 2028.

Laman Lestari turut menyediakan pelbagai kawasan umum, termasuk medan selera, surau dan ruang terbuka yang luas untuk aktiviti dalaman.

Laman Lestari mempunyai kapasiti untuk menempatkan 5,712 individu dengan maksimum 17 penghuni seunit.

Projek itu dianggarkan menelan belanja RM120 juta. Semua unit CLQ akan disewakan dengan anggaran yuran bulanan berjumlah RM350 untuk seorang penyewa.


MOHD FAUZI FADZIL ialah Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.